Rabu, 22 Mei 2019

Bahasa Mandarin vs matrikulasi

Dr Zaharuddin Abd Rahman 

Teguran hanya sebaris ayat oleh menteri pendidikan cetus kontroversi



MENJADIKAN syarat boleh berbahasa MANDARIN bagi jawatan guru bahasa Mandarin atau bagi subjek berbahasa pengantar mandarin, adalah BOLEH diterima. Sebagaimana syarat boleh berbahasa Arab bagi jawatan guru bahasa Arab atau matapelajaran Syariah & Usuluddin yang bahasa pengantarnya Arab.

Menjadikan syarat MANDARIN bagi jawatan korporat di sektor swasta hanya kerana pelanggan syarikat majoritinya mandarin, adalah TIDAK PATUT berlaku di sebuah negara bernama Malaysia yang bahasa ibundanya Malaysia & bahasa antarabangsanya Inggeris.

Malah meletakkan itu sebagai kewajiban boleh dikatakan sebagai ‘racist’ kerana majoriti bangsa yang boleh berbahasa Mandarin adalah bangsa Cina.

Sebagaimana juga tidak wajar menjadikan bahasa Arab sebagai syarat jawatan korporat sektor korporat seperti di institusi kewangan Islam, namun itu tidak pun berlaku sehingga pelbagai bangsa & agama boleh bertugas di perbankan Islam, semua bergantung kepada merit utama iaitu pengetahuan.

Bahasa Melayu/Malaysia sebagai syarat?

Namun jika menjadikan Bahasa Malaysia sebagai syarat semua jawatan korporat di sektor awam dan swasta dalam negara Malaysia?, ia sentiasa WAJAR kerana ia bahasa bagi negara Malaysia. Ia juga bukan ‘racist’ tetapi patriotik. 
 
Pengalaman saya melihat negara republik Czech menterjemah hampir semua buku termasuk novel antarabangsa ke bahasa ibunda mereka bagi menjaga jati diri negara dan sama-sama berbangga dan menaikkannya, suasana hampir serupa berlaku di Jerman.

Dapat matrikulasi dan IPTA tapi tak ada kerja?

Jika matrikulasi diraih oleh majoriti Melayu, ya mereka berpeluang mendapat pendidikan tinggi di IPTA, tetapi setelah graduasi mereka dinafikan bertugas di sektor swasta kerana tiada bahasa Mandarin atau bukan berbangsa Cina, disebabkan syarikat swasta dikuasai pemilik bercakap Mandarin, itulah yang menjadi isu sekarang ini yang MENCETUS TIDAK PUAS HATI sebahagian orang Melayu. Iaitu ketidakseimbangan graduasi dan bukaan peluang pekerjaan.

Tidak dapat dinafikan, agak banyak syarikat besar dari usahawan berbangsa Cina yang berjaya berbanding syarikat milik Bumiputera. Lihat sahaja peratusan pemegang ekuiti saham mereka di syarikat besar senaraian awam di Bursa Malaysia. Tahun 2017, pemilikan ekuiti individu Bumiputera di Bursa Malaysia hanya 4-5%.

Lantaran itu, isu bahasa Mandarin sebagai syarat kerja di sektor swasta itu amat dirasai oleh masyarakat Melayu Islam.

Matrikulasi terhad untuk mereka pula

Bangsa selain Melayu pula TIDAK PUAS HATI JUGA kerana peluang mereka ke matrikulasi sangat terhad dan BUKAN SEMUA MEREKA dari keluarga kaya yang mampu ke IPTS.

Sefaham saya, YB Menteri Pendidikan dan Kementerian Pendidikan CUBA melayan rungutan ini dan mengimbangi antara kuota dan kerumitan tekanan politik dengan menambah jumlah pelajar ke matrikulasi sekali gus bertambah juga bilangan bangsa selain Melayu yang akan diterima ke matrikulasi.

Itu bagi memastikan agar kuota Melayu tidak berkurang apabila ditambah kuota bangsa lain serta MENGELAK kecaman politik dari masyarakat Melayu.

Memang jelas dari statistik pendapatan antara kaum di Malaysia, bangsa Melayu yang merupakan majoriti masih memerlukan kuota matrikulasi bagi membesarkan sedikit peluang mereka bersaing dalam dunia kerjaya swasta. Ini BUKAN rasis tetapi berdasarkan keperluan dan statistik.

Masalah bangsa sememangnya rumit dan diplomasi serta tolak ansur sentiasa perlu di kehadapankan dari memastikan masyarakat kita boleh sama-sama melangkah ke hadapan, merapatkan jurang ekonomi antara bangsa-bangsa utama dalam negara.

Mereka yang bermasalah serta masih terkebelakang, perlukan sedikit pertolongan melalui kuota dan subsidi manakala yang sudah di depan perlu pula berjiwa besar dan tidak hanya berlari terus membawa hanya orang-orang yang sebangsa dengannya. Itu hanya akan menambah prejudis dan melebar jurang.

Tiada kayu magis untuk menyelesaikan kemelut ini. Hanya sekadar berkongsi sudut pandangan. Namun, saya SOKONG kenyataan YB Menteri Pendidikan yang menegur dalam hanya sebaris ayat perihal syarat bahasa Mandarin yang mencetus kontroversi.

Walau sebenarnya, tapisan sebahagian pasaran sektor swasta bukan sahaja boleh dibuat dengan meletakkan syarat Mandarin, malah ada iklan kerja yang tiada terlihat syarat itu, namun syarikat tetap menapis secara internal dan mengetepikan semua yang berlainan bangsa dengan pemilik syarikat.

Cuma, apabila ia sudah sampai diletak dalam syarat, itu menunjukkan kurang sensitivi semakin menebal tahun demi tahun. Itu patut diubah, TIDAK mengubahnya adalah ‘rasis’.

*Dr Zaharuddin Abd Rahman, Presiden NGO MURSHID


Tiada ulasan: