Jumaat, 17 Mei 2019

‘Menteri, PM terdahulu perlu bertanggungjawab jika salah’

MALAYSIAKINI

   

Menteri-menteri dan perdana menteri terdahulu perlu bertanggungjawab jika didapati bersalah dalam isu pertukaran tanah Kementerian Pertahanan, kata Anggota Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.

“Sebagaimana kenyataan YAB Tun Dr Mahathir (Mohamad), tiada siapa pun yang berada di atas undang-undang dan tiada siapa yang kebal dari undang-undang dalam isu ini.

“Menteri-menteri dan perdana menteri terdahulu perlu mengambil tanggungjawab terhadap tindakan mereka jika didapati bersalah di sisi undang-undang,” katanya.

Kementerian Pertahanan hari ini membuat laporan kepada SPRM berhubung baki 14 kes pertukaran tanah milik kementerian itu.
Nasaie (berdasi hitam dan bertali leher merah) ketika hadir 
bersama dokumen berkaitan di SPRM hari ini.
Laporan itu dibuat Pegawai Tugas-tugas Khas Menteri Pertahanan Mohd Nasaie Ismail di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, susulan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Kewangan dan Perolehan, yang diketuai Ambrin Buang, terhadap 16 isu pertukaran tanah Kementerian Pertahanan.
Dalam kenyataan hari ini, Hishammuddin berkata semasa beliau menjadi menteri pertahanan, beliau memang memandang serius itu berkaitan dan mahu tindakan tegas diambil.

Oleh sebab itu, kata bekas naib presiden Umno itu, pada 2 November 2015, Kementerian Pertahanan memulakan writ saman dan penyata tuntutan kepada syarikat terbabit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau juga, katanya, “sangat mengalu-alukan” laporan Kementerian Pertahanan terhadap kesemua 16 perjanjian pertukaran tanah kepada SPRM.

'Wakil saya juga akan lapor SPRM'

Beliau sendiri, kata Hishammuddin meminta wakil memfailkan laporan kepada SPRM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berkaitan dengan semua 16 perjanjian pertukaran tanah tanpa pilih bulu.

“Sebarang maklumat yang kami miliki akan dihantar terus kepada SPRM bagi membantu siasatan tersebut,” katanya.

“Sepertimana yang pernah saya perkatakan, saya bersikap telus dan tiada apa yang perlu disembunyikan, dan sangat terbuka dengan penyiasatan terhadap kesemua 16 perjanjian land swap yang telah diluluskan oleh kabinet sejak 1995 lagi.”

Hishammuddin bagaimanapun menegur kerajaan supaya tidak hanya menuding jari kerana “Pakatan Harapan bukannya pembangkang lagi”.

'Rugi RM500 juta?'

Selain itu, beliau juga musykil dengan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) bahawa kerajaan rugi RM500 juta.

Sedangkan, katanya, nilai kerugian tersebut hanya dianggarkan semata-mata pada kerugian jangkaan.
“Bagaimana boleh munculnya nilai RM500 juta ini?” soalnya

Beliau juga menegaskan perkara yang jauh lebih serius melibatkan perjanjan melibatkan mukim Plentong dan Mukim Tebrau, Johor berkeluasan 382.16 ekar.

Perjanjian itu, katanya, diluluskan oleh kabinet pada tahun 1996 tetapi telah dibatalkan perjanjiannya.


Tiada ulasan: