'Nak perkenal negara seharusnya pelbagaikan penggiat seni tempatan'
KUALA LUMPUR–
Majlis Senator Malaysia sebulat suara tidak bersetuju dengan cadangan
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berhasrat
membawa kumpulan penyanyi popular dari Korea Selatan iaitu BTS ke negara
ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Presidennya,
Datuk Seri Khairudin E.S Abd Samad berkata, cadangan itu dilihat kurang
bijak dalam mempromosikan kepelbagaian budaya tempatan termasuklah
industri muzik kepada pelancong asing.
“Dasar
kita (kerajaan) sekarang adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada
orang tempatan, maka, kita juga perlu menumpukan kepada artis-artis
tempatan…jadi mengapa perlu bawa artis daripada luar negara kerana itu
tidak wajar untuk promosi budaya kita sempena tahun melawat Malaysia.
“Kita nak
memperkenalkan negara kita, seharusnya kita mempelbagaikan lagi
segalanya daripada penggiat-penggiat tempatan, termasuk artis-artis
tempatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan
Negara, di sini hari ini.
Tambahnya,
perkara ini akan dikemukakan terus kepada pihak kementerian yang
terlibat, terutamanya Kementerian Belia dan Sukan, dalam masa terdekat.
April
lepas, Syed Saddiq dilaporkan berkata dengan kedatangan BTS, ia mampu
menarik lebih ramai pelancong asing dan dilihat sebagai satu pelaburan
yang menguntungkan buat negara serta mengubah trend agar Malaysia
menjadi pilihan destinasi konsert antarabangsa. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan