Sabtu, 11 Mei 2019

Kerana harta dua beradik pukul bapa sehingga mati

sitifatimah 

Doktor yang merawat sahkan ada kesan hentakan di kepala mangsa


IPOH– Seorang lelaki maut ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam, dipercayai akibat dipukul dua anak lelakinya di kediaman mereka di Taman Bercham Sinar, di sini, Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mazuki Mat berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 21 tahun ditahan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang Khamis lepas, mangsa yang yang berumur 56 tahun dibawa ke HRPB dan doktor yang merawatnya mendapati ada kesan hentakan di kepala.

“Akibat tidak berpuas hati, pengadu yang juga anak lelaki kepada mangsa telah membuat laporan ke balai polis kira-kira 12.37 tengah malam pada 10 Mei.

“Pengadu mengesyaki bapanya dipukul adik-adik lelaki kandungnya. Pengadu juga ada bertanya tetapi suspek memberi alasan ayah mereka jatuh katil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mazuki berkata, hasil soal siasat pengadu yang berumur 34 tahun itu mendapati berkemungkinan punca kematian bapanya berikutan kedua-dua suspek bertengkar mahukan harta.

“Pengadu tidak tinggal dengan ayahnya tetapi suspek yang tinggal dengan ayahnya. Pengadu dapat tahu sebelum ini ayahnya ada memberitahu suspek selalu memukulnya dan mengambil wang daripada simpanan ayahnya,” katanya.

Menurut Mazuki, pengadu memberitahu tiada saksi ketika kejadian dan beliau dimaklumkan mengenai kemasukan bapanya ke HRPB oleh adik perempuannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya. -Bernama


Tiada ulasan: