Selasa, 14 Mei 2019

Kebebasan media di Malaysia belum menyeluruh, kata akademik

Jeniri Amir berkata ahli politik mampu mengawal media.

KUCHING: Seorang ahli akademik mempersoalkan komitmen kerajaan bagi kebebasan media, mengatakan ia gagal mengehadkan pemilikan politik terhadap organisasi media setakat yang dijanjikan.

Bercakap kepada FMT, pensyarah dari Universiti Malaysia Sarawak, Jeniri Amir mendakwa Pakatan Harapan mengekalkan kawalan kerajaan ke atas media rasmi.

Beliau juga percaya kebanyakan organisasi media arus perdana dimiliki ahli politik atau individu yang dikaitkan dengannya.

Walaupun ia tidak dimiliki ahli politik atau parti politik, katanya, tidak ada jaminan kebebasan media kerana ahli politik masih dapat mengupah proksi untuk menjalankannya

“Ahli politik mampu mengawal media, dan ini boleh menjejaskan kandungan berita dan keputusan rakyat semasa pilihan raya,” katanya.

“Ia juga mustahil untuk menghalang ahli politik memiliki saham dalam organisasi media kerana media adalah perniagaan. Tidak ada undang-undang yang menghalang seseorang daripada memiliki saham dalam organisasi media.”

Beliau juga mempersoalkan kebebasan editor untuk bertindak secara profesional, mengatakan mereka perlu mengikut arahan pelabur.

Beliau menggesa Putrajaya mencontohi Indonesia dengan melantik pengatur media bebas “untuk membantu menyampaikan perkara yang betul”.

“Kerajaan tidak boleh terlibat dalam penubuhan sebuah majlis media tetapi harus membenarkan pakar mengendalikannya,” katanya.

Beliau juga menggesa liputan berita yang lebih meluas di Sarawak dan Sabah, mengatakan ini akan menyajikan integrasi kebangsaan.

“RTM (Radio Televisyen Malaysia) perlu menyiarkan lebih banyak berita mengenai Sabah dan Sarawak supaya rakyat di Semenanjung akan mengetahui apa yang berlaku di kedua-dua negeri itu,” katanya.

Jeniri bagaimanapun mengakui kedudukan Malaysia baru-baru ini melonjak sehingga 22 anak tangga untuk membolehkan ia menduduki tempat ke 123 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia yang dilaporkan Reporters Sans Frontieres.

Tiada ulasan: