Jumaat, 10 Mei 2019

Jawatan Menteri PH belum diwartakan: PAS tuntut penjelasan

Takiyuddin Hassan

PAS amat terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan undang-undang, Datuk Liew Vui Keong, bahawa jawatan anggota Kabinet Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh PH belum diwartakan setelah genap setahun memerintah negara ini.
 
Berdasarkan Seksyen 2 Akta Fungsi-fungsi Menteri 1969, setelah Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Kerajaan perlu mewartakan perintah Yang di-Pertuan Agong yang dinamakan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2019. Tarikh kuat kuasa perintah berkenaan juga perlu dinyatakan dengan jelas dalam Warta tersebut.
 
Pewartaan jawatan-jawatan ahli-ahli Kabinet amatlah penting dan perlu dibuat segera bagi mengesahkan fungsi-fungsi serta bidang tugas Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri yang dilantik tersebut.
 
Tindakan mewartakan perlantikan ini tidak sewajarnya dianggap remeh oleh Kerajaan kerana ianya akan melibatkan keabsahan (legality) tugas-tugas ahli-ahli Kabinet berkenaan dan kesan terhadap kuasa-kuasa yang telah digunakan oleh mereka.
 
Dengan ini PAS menuntut agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan undang-undang, Ketua Setiausaha Negara yang sepatutnya membuat pewartaan ini serta Peguam Negara yang sepatutnya menyiarkan Warta ini memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat tentang perkara ini.
 
Di atas kegagalan pihak-pihak berkenaan di atas memberikan penjelasan yang memuaskan, PAS menuntut mereka mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan segera meletakkan jawatan masing-masing.
 
* TAKIYUDDIN HASSAN,Setiausaha Agung PAS  – HARAKHDAILY 
 
 

Tiada ulasan: