SETAHUN yang lalu anak muda meletakkan harapan yang tinggi kepada Pakatan Harapan.
Anak muda mengharapkan hutang PTPTN dihapuskan, tol dimansuhkan, GST dibatalkan, dan yang terpenting kos sara hidup dikurangkan.
Selain
itu anak muda mengharapkan perubahan dalam negara dengan keadilan
ditegakkan, rasuah dihapuskan dan skandal 1MDB dibongkarkan.
Maka ramailah anak muda berumur 20-an
dan 30-an keluar mengundi pada 9 Mei yang lalu, sesak di setiap pusat
pengundian bermula jam 9 pagi, beratur panjang untuk memangkah parti dan
calon yang menjadi pilihan.
Melihat ramainya anak muda yang keluar mengundi, dengan semuanya tunduk menghadap ‘handphone’
yang tidak lekang di tangan, menandakan ada suatu gelombang yang ingin
dihantar ke Putrajaya oleh anak muda pada hari pengundian.
Natijahnya suatu keputusan yang di luar
jangkaan, BN tumbang buat pertama kalinya sejak negara mencapai
kemerdekaan, di tangan PH yang menjanjikan 1001 harapan.
Hari ini genap setahun peristiwa
bersejarah itu, namun anak muda yang dahulunya bersemangat untuk
melakukan perubahan, kini tersenyum melihat janji dan harapan mereka
dipermainkan.
Mengapa anak muda kecewa?
Anak muda kecewa kerana janji manifesto
tidak ditunaikan. PTPTN masih perlu dibayar, tol masih perlu dibayar,
cukai makin banyak dibayar, malah harga minyak tidak turun sebagaimana
dijanjikan.
Anak muda juga kecewa kerana kos sara
hidup masih tidak berubah, malah ramai yang rasa makin terbeban. Peluang
pekerjaan tidak bertambah, malah ramai juga yang diberhentikan. Harga
rumah tidak berubah, malah semakin sukar untuk didapatkan.
PH berbangga rasuah dapat dikurangkan, itu satu pujian.
Namun anak muda hairan melihat kes
melibatkan pemimpin PH digugurkan, manakala wakil rakyat BN yang
melompat parti terus disucikan. Anak muda mahu setiap tuduhan rasuah
dibicarakan di mahkamah dengan adil, bukannya dibicarakan di ‘mahkamah
media’ tanpa batasan.
Anak muda juga sangsi melihat kemampuan
pemimpin Pakatan Harapan. Ada yang menipu kelayakan dan ada juga yang
ijazahnya dipalsukan.
Ada Menteri membuat keputusan, namun
terpaksa ‘u-turn’ kerana belum cukup kajian. Ada Menteri membuat
pengumuman, namun terpaksa dibatalkan setelah menerima banyak bantahan.
Tidak cukup dengan itu, hutang 1 trilion dan ketiadaan wang sering
dijadikan alasan bagi menutup kelemahan.
Kini memasuki tahun kedua pemerintahan,
PH meminta rakyat bersabar dan memberi lebih masa kepada kerajaan –
janji untuk menunaikan segala manifesto, mengurangkan kos sara hidup dan
mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.
Sejauh mana anak muda boleh menaruh harapan, hanya masa yang akan menentukan.
*SYAHIR SULAIMAN, Pengarah Strategi DPPM - – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan