Keadilan bukan hanya dalam aspek kuota kaum untuk kemasukan
program matrikulasi tetapi juga kelayakan dalam memohon pekerjaan, kata
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
Maszlee menjawab soalan
seorang siswa mengenai kemungkinan melonggarkan sistem kuota bagi
kemasukan ke program matrikulasi praunivesiti.
"Sebab itulah matrikulasi walaupun lebih mudah kita berikan peluang untuk mereka belajar lebih daripada itu, untuk orang yang kurang kemampuan, sebab itu matrikulasi diwujudkan.
"Kalau kini kita nak ubahkan (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan bahawa peluang pekerjaan kepada bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin," kata menteri bersambut tepukan hadirin.
Avengers ambil masa 8 tahun
"Kita jangan melihat sesuatu secara terpisah-pisah. Kita lihat isu matrikulasi semata-mata dengan tidak melihat peluang pekerjaan yang dinafikan kepada ramai orang yang ditemuduga semata-mata kerana mereka tidak boleh berbahasa Mandarin.
"Kalau kita boleh hapuskan itu semua, kalau kita boleh beri peluang yang saksama kepada pekerjaan, peluang perniagaan, pada waktu itu kita boleh bicarakan tentang kita bersikap adil dalam semua (hal)," katanya lagi.
Maszlee juga berkata kerajaan memerlukan masa untuk melaksanakan perubahan, mengambil contoh filem terbaru Avengers: Endgame.
"Kerajaan kita baru setahun. Kita nak betulkan semua perkara, waktu setahun dipaksakan, saya rasa Avengers pun tak boleh buat.
"Avengers bunuh Tanos pun ambil masa 8 tahun," katanya mengundang tawa hadirin.
Bulan lalu, menteri pendidikan mengumumkan kabine bersetuju untuk menambah tempat ke program matrikulasi daripada 25,000 kepada 40,000 pelajar.
Bagaimanapun, kata Maszlee sistem kuota yang memperuntukkan 90 peratus tempat untuk bumiputera dan 10 peratus bagi bukan bumiputera masih dikekalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan