Jumaat, 17 Mei 2019

Jangan bangga tapi akui kegagalan selesai masalah Orang Asli, aktivis tegur MB Perak

Kerajaan Perak membenarkan penguat kuasa menrobohkan sekatan 
laluan pembalakan yang dibina oleh penduduk Orang Asli di Kampung 
Tasik Cunex, Gerik semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu diingatkan supaya tidak terlalu berbangga dengan pencapaian selepas setahun tempoh pentadbiran beliau, sebaliknya perlu mengakui kegagalan menyelesaikan masalah Orang Asli.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pemimpin utama negeri itu perlu bertanggungjawab dan mengakui kegagalannya dalam menyelesaikan masalah Orang Asli di Perak.

“Dalam hal Orang Asli di Perak, isunya memang senang. Kampung dan tanah mereka yang merangkumi sebahagian besar hutan Perak terjejas akibat pembalakan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas prestasi setahun kerajaan Perak ditadbir Pakatan Harapan (PH) selepas kemenangannya pada pilihan raya umum ke-14, 9 Mei tahun lalu.

Faizal dilaporkan berkata, pemilikan rumah dan kelangsungan hidup golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) serta masyarakat Orang Asli merupakan antara puluhan isu yang diberi perhatian oleh kerajaan pimpinannya.

Shariffa Sabrina berkata, komuniti itu hanya mahukan masalah pembalakan yang melibatkan kawasan petempatan mereka dihentikan dan kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk memenuhi tuntutan tersebut.

“Tapi kenapa masih tidak selesai? Kenapa nak salahkan NGO (badan bukan kerajaan) atas kegagalan tersebut?” katanya.

Tambahnya lagi, NGO seperti Peka berhak bertindak sebagai semak dan imbang serta memberi pandangan yang bebas dan bekecuali terhadap sesuatu krisis.

“Kerajaan (negeri) tidak boleh menyalahkan orang lain, terutamanya NGO apabila situasi tidak menjadi seperti yang diidamkan,” katanya.
Shariffa Sabrina Syed Akil.
Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) berkata, tidak dinafikan kerajaan PH berusaha untuk menambah baik sosio ekonomi golongan B40, tetapi dari sudut yang lain, usaha PH untuk memajukan ekonomi Orang Asli perlu juga dibuat dengan mengambil kira apa kehendak komuniti itu.

“Tindakan kerajaan negeri yang memusnahkan hutan, kononnya untuk ubah cara hidup Orang Asli akan juga membunuh budaya tradisional komuniti tu. Ini betul2 tak sesuai.

“Kalau kerajaan nak bantu Orang Asli, fahami aspirasi mereka dan kekalkan hutan mereka,” katanya kepada FMT.

Awal Februari lalu, penduduk Orang Asli di Gerik mendakwa kerajaan Perak menceroboh tanah adat mereka dengan kegiatan pembalakan sejak awal tahun ini.

Mereka mendakwa aktiviti pembalakan itu dijalankan di kawasan seluas 80 hektar yang merupakan tanah adat mereka tanpa kebenaran dan satu sekatan didirikan selepas aduan kepada kerajaan negeri serta menteri besar tidak diendahkan.

Jabatan Perhutanan Perak bagaimanapun menafikan dakwaan “tanah adat” Orang Asli di Gerik diceroboh kerana tiada kawasan hutan simpanan kekal di Perak diwartakan sebagai tanah adat komuniti itu.

Dalam perkembangan terbaru semalam, kerajaan Perak membenarkan pihak berkuasa merobohkan sekatan yang dibina Orang Asli Kampung Tasik Cunex di Gerik atas alasan ia dibina tanpa kebenaran di tanah kerajaan negeri.

Faizal berkata, keputusan itu dibuat selaras peruntukan undang-undang dan operasi merobohkan sekatan dijalankan secara aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Beliau juga mendakwa isu itu disensasikan badan bukan kerajaan tertentu yang mendakwa ia merupakan tindakan membuli masyarakat Orang Asli.

Tiada ulasan: