Ahad, 12 Mei 2019

Cermin gelap: Polis tak perlu tunduk pada menteri, kata bekas KPN

Pandangan polis perlu diambil kira kerana peraturan baru cermin 
gelap bagi kenderaan persendirian boleh menimbulkan masala
keselamatan dan keamanan kepada orang awam.
PETALING JAYA: Bekas ketua polis negara, Musa Hassan berkata polis sepatutnya berpegang kepada prinsip asal, bukannya mudah akur dengan keputusan kerajaan dalam peraturan baru cermin gelap kenderaan yang dibantah pelbagai pihak.

Beliau merujuk Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias yang pada awalnya tidak bersetuju dengan peraturan baru cermin gelap kenderaan persendirian kerana boleh menyukarkan tugas penguatkuasaan, sebelum beliau akur kepada keputusan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

“Ada sebab dia (Azisman) tidak setuju, jadi kena semak semulalah. Apa yang takut sangat bila menteri kata hendak buat? Cakaplah terus terang sebabnya anda menjaga keselamatan negara dan masyarakat. Anda harus berpegang kepada prinsip,” katanya kepada FMT.

Musa berkata, polis memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara, oleh itu pandangan polis harus diambil kira sebelum memperkenalkan akta atau peraturan baru membabitkan keselamatan.

“Akta atau peraturan berkaitan jalan raya bukan hanya dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan kerana ia juga dikuatkuasakan oleh polis.
Bekas KPN, Musa Hassan.
“Jadi, pandangan polis harus diambil kira kerana cermin gelap boleh datangkan masalah keselamatan dan keamanan pada orang awam.

“Kalau cermin gelap dibenarkan, maka penjenayah juga pakai cermin gelap. Maka, susahlah tugas polis untuk ambil tindakan. Bincanglah dahulu kerana polis yang menjaga keselamatan negara.”

Khamis lalu, Loke mempertahankan peraturan baru cermin gelap bagi bahagian sisi penumpang dan belakang kenderaan persendirian walaupun dibantah pelbagai pihak, termasuk polis.

Katanya, keputusan itu berdasarkan maklum balas polis dan bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap pada Jun 2014 yang mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin depan dan sisi pemandu, masing-masing pada kadar 70% serta 50%.

Penggunaan cermin gelap tanpa had atau gelap sepenuhnya dibenarkan mulai Rabu lalu pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta belakang kenderaan berbanding VLT 30% sebelum ini.

IPCMC

Sementara itu, Musa berkata, penubuhan badan pemantau yang melangkaui kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) tidak boleh dilaksanakan.

“Kalau hendak ambil alih kuasa dari SPP, maka tidak betul. Hanya SPP sahaja yang boleh ambil tindakan terhadap polis, bukannya badan-badan lain.”

Beliau mengulas keputusan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador yang dilaporkan berkata, polis secara prinsipnya bersetuju dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), tetapi kerajaan perlu memberi jaminan ia tidak akan menghakis kuasa polis.

Tiada ulasan: