Najib berkata, veteran DAP itu sebaliknya patut malu dengan kekalahan PH dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini tanpa seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) secara angkuh menuduh kekalahan PH itu sebagai “pukulan maut” buat Kit Siang.
“Padahal saya ke Sandakan untuk setengah hari sahaja dan sempat untuk memberi satu ceramah sahaja atas permintaan PBS untuk menolong mereka. Terus digelar pukulan mati oleh MenHEN (Kit Siang) yang sekali lagi menunjukkan obsesi geli beliau terhadap saya.
MenHEN adalah akronim bagi “menteri hal ehwal Najib”, gelaran yang diberikan oleh bekas perdana menteri itu kepada Lim kerana kerap membuat kenyataan mengenai beliau.
“Kit Siang telah berkempen berhari-hari di PRK Cameron Highlands dan Semenyih. Puluhan ceramah diberi oleh Kit Siang di sana. Lalu PH tetap kalah juga walaupun Kit Siang telah kuat berkempen.
“…tapi tak ada seorang pun dari BN yang angkuh sehingga menuduh bahawa semua kekalahan PH ini melambangkan pukulan-pukulan mati untuk Kit Siang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim sebelum ini berkata, kemenangan calon DAP, Vivian Wong melenyapkan 3 kekalahan dialami PH di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.
“Dan ini merupakan satu tamparan hebat kepada kempen “malu apa bossku” oleh bekas perdana menteri, Najib Razak yang tidak tahu malu,” kata Lim dalam satu kenyataan malam tadi.
Tidak cukup dengan sindiran itu Najib turut mempersoal apakah kegagalan kerajaan PH menerusi Menteri Kewangan Lim Guan Eng memulihkan pasaran saham negara yang kini berada pada kedudukan tercorot menunjukkan ia juga pukulan mati terhadap anak penasihat DAP itu.
“Dengan logik yang sama, pasaran saham yang sudahpun diberi gelaran paling corot dalam dunia telah jatuh lagi pada minggu lepas kepada tahap paling rendah sejak 3 1/2 tahun dahulu.
“Adakah ini juga melambangkan pukulan mati kepada anak MenHEN? Dah knockout ke belum? Berapa kali sudah kena pukulan?,” katanya.
Najib berkata, kekalahan PBS tidak melemahkan semangat pembangkang dan ia perlu dijadikan iktibar untuk membetulkan kelemahan.
“Tetapi apa yang pasti ialah semangat perjuangan kita tidak akan padam,”katanya.
Dalam PRK Sandakan semalam, Vivian yang mewakili DAP meraih 16,012 undi mengalahkan calon PBS Linda Tsen yang mendapat 4,491 undi serta 3 calon Bebas, iaitu Hamzah Abdullah (788 undi), Chia Siew Yung (178 undi) dan Sulaiman Abdul Samat (126 undi).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan