JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 5 Julai
sebagai tarikh sebutan semula kes rasuah bekas Pengerusi Jawatankuasa
Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi @ Nor
Sebandi dan seorang perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub.
Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan tarikh itu selepas membenarkan
permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan bagi penelitian dokumen
sebelum perbicaraan ditetapkan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil, memohon mahkamah membenarkan
tarikh sebutan semula yang dicadangkan itu bagi memastikan dokumen
lengkap dihantar.
Abd Latif diwakili oleh lima peguam diketuai Datuk Salehuddin Saidin
manakala Amir Shariffuddin diwakili Azrul Zulkifli Stork dan Hazza
Khalid.
Pada 19 April lalu, Abd Latif, 51 bersama Amir Shariffuddin, 44,
mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan berasingan membabitkan
nilai suapan RM30.3 juta di Mahkamah Sesyen.
Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir
Shariffuddin untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi
mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada
pembeli awam serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan
Negeri Johor bagi beberapa projek.
Amir Shariffuddin turut didakwa menerima rasuah daripada beberapa
individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif melakukan apa-apa
transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan
pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera itu dan pengurangan bayaran wang
sumbangan tabung berkenaan.
Semua kesalahan dilakukan antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di beberapa lokasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan