Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk
Hamidah Osman menafikan kononnya beliau adalah dalang utama yang
mendesak supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan selaku
presiden parti.
Jelas Hamidah, dakwaan berkenaan merupakan satu tuduhan liar yang tidak
adil kerana ianya tidak diiringi dengan bukti yang sahih.
"Saya rasa tidak adillah untuk menuduh saya tanpa bukti. Kecuali dalam
isu ini semua orang ada perasaan dia sendiri dan bukan semua saya boleh
kawal dan tindakan-tindakan mereka itu pun bukanlah tindakan yang saya
atur ataupun saya susun.
"Saya rasa perlu adil dengan saya lah. Kalau mahu buat apa-apa tuduhan
eloklah disiasat betul-betul. Panggil saya menghadap, tanya apa
ceritanya, barulah adil.
"Benda itu satu pertuduhan liar yang dan bukan kenyataan rasmi daripada
pucuk pimpinan PPBM," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Terdahulu, sebuah portal yang memetik sumber melaporkan Hamidah
dikenalpasti sebagai dalang utama yang mendesak supaya Muhyiddin
melepaskan jawatan presiden parti.
Sumber yang tidak dinamakan memberitahu portal itu, rasa tidak puas
hati dan dendam Hamidah terhadap Muhyiddin didakwa berpunca kerana tidak
dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan PPBM Perak.
Terdapat juga desas-desus yang mengatakan pimpinan tertinggi sudah mula
memerhatikan tindak-tanduk Hamidah dan tindakan disiplin akan dibuat
dalam masa terdekat kerana dianggap menyerang parti.
Dalam pada itu, Hamidah menyifatkan dakwaan yang dilemparkan kepadanya
bakal mengeruhkan lagi keadaan ekoran parti serpihan Umno itu kini
dilatari konflik dalaman.
Bulan lalu, salah seorang pengasasnya, Kamarulazman Habibur Rahman
bertindak keluar parti kerana mendakwa kecewa dengan hala tuju parti
yang terpesong, selain amalan 'kasta' dalam parti itu.
Terbaru, pada Selasa lalu, Exco Srikandi PPBM, Zulaiha Sidek mengambil
keputusan meletakkan jawatan kerana mendakwa sudah muak dengan kemelut
dalaman yang melanda parti.
Turut mengumumkan peletakan jawatan ialah Ketua Srikandi Penaja PPBM Bahagian Gopeng, Aflatuniah Md. Norani.
Malah baru-baru ini wujud pula desakan agar Muhyiddin meletakkan
jawatan sebagai presiden selepas berlakunya kepincangan dalaman parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan