SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merakamkan
penghargaan di atas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris
Shah, yang berkenan mengekalkan tiga Exco parti itu dalam kerajaan
negeri hingga pilihan raya umum akan datang.
"Sesungguhnya limpah perkenan DYMM Tuanku amat disanjung tinggi untuk
memastikan kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor demi menjaga
kebajikan dan kemakmuran rakyat.
"Patik sepenuhnya meyakini bahawa ketiga-tiga ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor dan 10 orang ADUN daripada PAS tidak
pernah luntur semangat untuk menjunjung kepercayaan DYMM Tuanku dan
meneruskan amanah bagi menjaga kestabilan Kerajaan Negeri Selangor dan
berkhidmat untuk rakyat dengan adil dan saksama," kata Hadi dalam satu
kenyataan.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan hasrat
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali untuk mengekalkan kedudukan tiga
wakil rakyat PAS sebagai exco kerajaan negeri.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah pagi tadi, baginda
sebelum ini telah menerima menghadap Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga
ADUN Sabak bersama tiga exco terlibat untuk mengetahui pendirian mereka.
Jelasnya, setelah menimbang dan meneliti segala aspek dari sudut
kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dan berbincang dengan menteri
besar, baginda memperkenankan hasrat untuk mengekalkan tiga exco
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan