- Dikemas kini dengan reaksi Pemuda Amanah Nasional dan Pemuda PH Johor
Ketua
Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki "mengalu-alukan" cadangan Pemuda
Bersatu (Armada) mahu memutuskan kerjasama dengan mereka jika
bersungguh-sungguh mahu kembali bersama Pakatan Harapan (PH).
Namun,
Asyraf Wajdi mendakwa, jika mereka berbuat demikian, rakyat akan
menghukum mereka kerana mempermainkan mandat rakyat dengan
sewenang-wenangnya ketika orang ramai gelisah menghadapi Covid-19.
“Jika
Armada bersungguh-sungguh mahu memutusakan kerjasama dengan Umno dan
kembali ke pangkuan PH bak orang gila talak, mereka dialu-alukan berbuat
demikian.
“Rakyat pastinya hakim terbaik untuk menilai dan
menghukum mereka yang sewenang-wenangnya mempermainkan mandat rakyat
hanya kerana ketamakan dan kerakusan kepada kuasa, pada saat rakyat
sedang susah dan gelisah menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini,”
katanya dalam satu kenyataan kepada
Malaysiakini.
Bekas
timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian sebagai
mengulas kenyataan Armada petang tadi yang membuat keputusan
menyokong penuh pendirian Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad untuk tidak bekerjasama dengan Umno.
Sebaliknya
sayap pemuda Bersatu itu mahu “mengembalikan mandat rakyat” dalam
pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan bekerjasama semula dengan PH.
Ada satu pilihan saja
Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri exco dan ketua Armada negeri, serta Mahathir.
Untuk
rekod, Bersatu sebelum ini menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas
mendapat mandat daripada rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14
pada 2018.
Bagaimanapun mandat itu diperolehi secara kolektif
melalui gabungan PH yang turut disertai PKR, Amanah dan DAP. Ia sekali
gus menyaksikan Umno hilang kuasa buat pertama kali sejak PRU pertama
diadakan.
Bagaimanapun Bersatu dibawa keluar daripada PH oleh
presidennya, Muhyiddin Yassin, dan melalui kerjasama dengan Umno, MCA,
MIC dan PAS, membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Timbalan
Presiden Umno, Mohamad Hasan, pada masa sama menegaskan PN bukanlah
sebuan badan yang sah kerana tidak berdaftar, berbeza dengan BN.
Di
sebalik tindakan Muhyiddin itu, Mahathir menolak bekerjasama dengan
Umno dan sebahagian daripada pemimpin Bersatu berada di belakang ahli
parlimen Langkawi tersebut.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir, menyatakan bahawa Bersatu “hanya
ada satu pilihan sahaja” iaitu kembali bersama PH.
Mengulas
lanjut, kata Asyraf, Armada sepatutnya bermuhasabah dan menginsafi
punca sebenar keruntuhan PH setelah hanya 21 bulan berkuasa.
Katanya, keruntuhan itu berkait rapat dengan kerakusan kepemimpinan tertinggi mereka yang berebut kerusi perdana menteri.
Katanya, perebutan itu menyebabkan Mahathir membuat keputusan mengejut meletakkan jawatan lalu.
“Mujurlah
Umno dan PAS bersama komponen BN berjiwa besar, meletakkan kepentingan
parti masing-masing ke tepi untuk bersetuju menyokong Muhyiddin sebagai
perdana menteri,” katanya.
Keputusan oleh BN dan PAS itu, tambah
Asyraf Wajdi, adalah bagi menyelamatkan negara daripada terus tergantung
tanpa kerajaan selama hampir seminggu.
Kelakar lagi menghiburkan
Sementara itu, Pemuda Amanah Nasional menyambut baik pendirian Armada untuk kembali bekerjasama dalam gabungan PH.
Dalam
kenyataan yang dikeluarkan malam ini juga Pemuda Amanah menyelar Asyraf
Wajdi dengan mengingatkan ketua Pemuda Umno itu bahawa kerajaan PN
menjadi kerajaan tanpa melalui peti undi.
“Bagaimana kerajaan tanpa mandat rakyat boleh berpesan agar orang lain bertindak memenuhi mandat rakyat?
"Pesanan
itu tidaklah salah, cuma sekali baca dan dengar kelihatan kelakar
sekali gus menghiburkan,” kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional,
Shazni Munir Mohd Ithnin.
Tambahnya, pendirian Armada itu selari dengan pandangan yang disuarakan Presiden PKR Anwar Ibrahim sebelum ini.
Namun,
kata Shazni Munir, jika ia menjadi kenyataan, Pemuda Amanah
mencadangkan perlu ditetapkan terma bagi mengukuhkan kerjasama berkenaan
serta mencapai kesepakatan yang lebih utuh dan mantap.
Senada
dengan Shazni, Pemuda PH Johor turut mengalu-alukan keputusan Armada
dan menasihatkan Asyraf untuk “mencermin diri sendiri”.
Dalam satu
kenyataan bersama oleh Ketua Pemuda Amanah Johor, Taqiuddin Che Man;
Ketua Pemuda PKR Johor, R Yuneswaran; dan Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh
Umar Bagharib Ali, PN lah yang disifatkan sebagai kerajaan yang bukan
menjadi pilihan rakyat.
“Langkah bekerjasama dalam kerajaan PNlah yang hakikatnya telah mengkhianati mandat rakyat.
“Kudos! Salut dari Pemuda PH Johor buat rakan-rakan Armada Pusat,” kata mereka lagi.