Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Tanggapan 'syok sendiri' oleh Tun Dr Mahathir Mohamad
terhadap kajian badan berkaitan PKR, Invoke, berhubung calon Perdana
Menteri akan dibuktikan dengan kerja keras.
Demikian menurut pemimpin PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dalam
responnya terhadap sindiran bekas perdana menteri itu berhubung kajian
Invoke Malaysia, yang merumuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon
pilihan penyokong pembangkang untuk diangkat sebagai perdana menteri.
"Lagi Dr Mahathir cakap begitu, lagi kita bekerja keras, turun kepada
rakyat, menunjukkan 'syok sendiri' itu akan menjadi kenyataan," katanya
kepada Antarapos.
Terdahulu Dr Mahathir menyindir hasil kajian Invoke Malaysia berkaitan
calon perdana menteri paling popular untuk PRU14 sebagai 'syok sendiri'.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menyifatkan kajian
badan bebas di bawah seliaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli itu tidak
memberi makna sekiranya pembangkang gagal membuktikan kemenangan mereka.
Rafizi, pada semalam mengumumkan hasil kajian Invoke yang mendapati
bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih menjadi pilihan
berbanding pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Kajian yang dilakukan terhadap 17,962 orang responden mendapati 31
peratus memilih Najib, 28.5 peratus memilih calon dari PH manakala 6.1
peratus memilih Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam pada itu, daripada lapan calon pemimpin PH, Ketua Umum PKR Datuk
Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan utama di kalangan penyokong
pembangkang untuk menjadi perdana menteri.
Mengulas lanjut, Abdullah Sani percaya hasil kajian badan bebas itu
memberi kesan positif kepada PKR selain yakin Anwar sebagai individu
paling layak menjadi perdana menteri.
"Hendak meletakkan kekuatan kita itu memerlukan kajian, dan kajian itu
adalah harapan rakyat. Apabila melihat harapan rakyat banyak melebihi
kita, maka kita yakin jentera kita perlu melipat-gandakan kerja bagi
memutlakkan kemenangan.
"Ikut sejarah Anwar, beliau telah diuji, diduga dan diberikan pelbagai
permasalahan, sehingga beliau pernah digelar sebagai menteri kewangan
terbaik di dunia. Isu kini adalah kos sara hidup. Siapa mampu menerajui
negara dalam konteks membantu rakyat?," ujar Ahli Parlimen Kuala Langat
itu lagi.
Kongres Nasional Tahunan PKR Kali ke-13 yang berlangsung hujung minggu
lalu sepakat untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-7, selain
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana
menteri sementara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan