KUCHING: Polis menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki
tempatan daripada etnik Kenyah yang disyaki pengedar dadah, selepas
memeriksa sebuah kereta dalam rondaan mencegah jenayah di simpang Uma
Belor, Sungai Asap, di daerah Belaga, lebih 750km dari sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam
berkata antara yang dirampas satu laras senapang patah buatan sendiri,
satu kelopak mengandungi 11 peluru jenis .22, dua peluru senapang patah,
sebila keris, 10 paket dipercayai syabu dan 27 straw juga dipercayai
syabu.
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berumur antara 32 hingga 40 tahun itu
ditahan selepas dua anggota peronda unit MPV mengesan mereka dalam
sebuah kenderaan Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan di hadapan
sebuah rumah tidak bernombor di simpang berkenaan pada 10 malam tadi.
Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau yang mengucapkan tahniah
kepada dua anggota MPV yang membuat tangkapan itu berkata pasukan
Bahagian Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen akan membuat
siasatan susulan mengenai kes rampasan senjata dan peluru berkenaan.
Katanya polis percaya ketiga-tiga lelaki itu terbabit dalam kegiatan mengedar dadah ke kawasan pedalaman di Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan