SHAH ALAM: PAS digesa mendedahkan sekumpulan ahli Parti Amanah Negara
(PAN) yang kini didakwa kembali menyokong parti lamanya, demikian
menurut penganalisis politik, Datuk Dr Firdaus Abdullah.
Sekiranya tidak dilakukan, PAS akan dilabel sekadar menyebarkan
spekulasi tanpa adanya bukti konkrit bahawa adanya kumpulan mengubah
arah perjuangan.
Ujar Firdaus, sekiranya dakwaan itu berasas, maka ia menunjukkan ada 'sesuatu yang tidak kena' dalam perjuangan politik PAN.
"Untuk memastikan dakwaan itu kuat, Datuk Takiyuddin Hassan (Setiausaha
Agung PAS) perlu mendedahkan butiran itu atau adakan sidang media di
antara pihak yang telah kembali ke pangkal jalan itu.
"Jika dakwaan itu benar, saya rasa ia satu petanda sudah timbul
kesedaran di kalangan sesetengah pihak yang sewaktu memberikan sokongan
kepada PAN adalah kerana keliru, emosional atau mendapat informasi yang
salah," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Firdaus mengulas dakwaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan
bahawa wujudnya sekumpulan ahli PAN kini kembali menyokong perjuangan
PAS.
Menerusi pertemuan antara beliau dan kumpulan tersebut, Takiyuddin
memberitahu ahli-ahli PAN berkenaan mengakui telah tersalah faham dengan
arah tujuan parti serpihan PAS itu.
Takiyuddin meminta kepimpinan PAN menyiasat sendiri perkara berkenaan
memandangkan beliau tidak mahu mendedahkan nama-nama individu yang
terlibat.
Sebelum ini Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga menyatakan keyakinannya
bahawa ramai ahli PAN akan kembali kepada PAS dalam tempoh enam bulan
ini.
Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub bagaimanapun menyelar dakwaan PAS dengan menyifatkan ia sebagai satu dakwaan murahan.
Firdaus juga tidak menolak bahawa dakwaan Takiyuddin itu memberi kebimbangan kepada PAN sekiranya perkara itu benar.
"Sudah tentu ada kerunsingan di pihak mereka (PAN). Ia menunjukkan
perjuangan mereka ada keraguan di kalangan penyokong. Kebimbangan di
pihak PAN adalah wajar," kata Firdaus.
PAN merupakan parti serpihan PAS selepas sebilangan pemimpinnya, yang
dikenali sebagai golongan profesional kalah dalam pemilihan parti itu
pada Jun tahun lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan