Oleh Syazana Hasanudin
KEBELAKANGAN ini, Malaysia seolah-olah terkena sumpahan badut apabila semakin ramai pemimpin negara mempamer sisi kelakar mereka melalui kenyataan dan perilaku sarkas termasuk Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Alasan membebaskan Datuk Seri Najib Razak dari skandal derma RM2.6 bilion atas alasan kononnya derma itu telah dipulangkan, benar-benar menggeletek hati rakyat. Apandi seolah-olah menjadi badut pelindung kepada Perdana Menteri dan siri skandalnya.
Namun, persoalan itu terjawab apabila baru-baru ini, Apandi bercadang memperketat hukuman mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) kepada penjara seumur hidup dan 10 sebatan, kononnya untuk mengelak kebocoran rahsia kerajaan.
Bukan itu sahaja, beliau dengan bangga menyatakan hukuman itu akan turut dikenakan ke atas pengamal media terutama mereka yang enggan mendedahkan sumber maklumat. Sahlah bahawa Apandi adalah penghibur terbaru dalam arena politik Malaysia.
Mungkin Apandi lupa, tugas Peguam Negara bukanlah menjaga periuk nasi wakil rakyat tetapi menegakkan prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana pihak termasuk pemimpin tertinggi kerajaan.
Justeru, rakyat melihat cadangan Apandi meminda OSA itu sebagai cara terbaru menutup segala ketirisan, rasuah, skandal kewangan dan rahsia gelap pemimpin kerajaan UMNO BN serta mengelabui mata rakyat dari melihat wajah sebenar mereka.
OSA merupakan undang-undang pinjaman dari penjajah British yang pertama kali diperkenal di Negeri-negeri Selat pada 1920-an menggunakan Akta Rahsia Rasmi United Kingdom. Sejak dulu, ia menjadi alat pemerintah bagi mengawal dan melarang penyebaran maklumat berkaitan rahsia rasmi.
Sebelum ini, parti pembangkang seperti DAP dan yang lain konsisten lantang mengkritik undang-undang drakonian itu. Begitu juga badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat media, antaranya Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Gerakan Media Marah (GERAMM), Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).
Pelbagai lapisan rakyat juga menyokong cadangan memansuh OSA kerana ia tidak lagi relevan dipraktik di negara demokrasi seperti Malaysia.
Ia lantaran definisi ‘rahsia rasmi’ mengikut akta itu terlalu luas hingga membolehkan mana-mana agensi kerajaan memfailkan sesuatu dokumen itu sebagai dokumen rahsia. Perkara itu menghalang rakyat dari memperoleh maklumat berkaitan kerajaan dan wakil rakyat yang dipilih mereka.
Malah, dokumen rasmi kabinet juga diklasifikasi sebagai rahsia kerajaan. Walhal yang dibincang berkait rapat dengan masa depan rakyat. Bukankah rakyat ada hak mengetahui sama ada keputusan sekumpulan menteri itu bakal memberi kesan baik buruk kepada kehidupan mereka?
Perkara itu jelas melanggar prinsip asas demokrasi yang mendukung hak kebebasan maklumat dan sistem kerajaan terbuka. Sebuah negara yang diuar-uar sebagai demokratik seperti Malaysia patut memegang teguh prinsip asas itu, bukannya menggunakan seribu satu cara menghalang rakyat dari mengakses maklumat.
OSA juga sering diguna pakai bagi menutup mulut pemimpin pembangkang dari mendedah skandal dan ketirisan kerajaan UMNO BN. Pada 1978, Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang didapati bersalah kerana mendedah maklumat pembelian kapal perang Sweden untuk tentera laut Malaysia walaupun ia terlibat dengan kontroversi penyalahgunaan dana awam.
Pada 2002, Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional ketika itu, Mohd Ezam Mohd Nor dihukum dua tahun penjara kerana mendedah dokumen Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung siasatan rasuah ke atas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz dan bekas Ketua Menteri Melaka, Abdul Rahim Thamby Chik.
Nampaknya, OSA lebih banyak digunakan bagi menjaga keselamatan pihak tertentu dengan menghalang kebocoran rahsia gelap mereka berbanding memelihara keselamatan negara.
Lalu, tidak hairanlah apabila bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat OSA perlu dikaji semula kerana ia digunakan bagi menyembunyikan ribuan dosa. Beliau turut bersetuju OSA harus distruktur kembali jika mahu penyakit rasuah di kalangan pemimpin dirawat dari akar umbi.
Namun, Apandi umpama membutakan mata dan memekakkan telinga apabila segala rintihan dan cadangan rakyat itu diabai, malah melakukan tindakan berlawanan dengan kehendak rakyat apabila mahu memperketat lagi OSA.
Pihak yang mendapat tumpuan Apandi dalam kenyataannya ialah pengamal media. Beliau percaya wartawan dan editor bertanggungjawab mendedah rahsia kerajaan kepada orang awam, terutama selepas pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Media memainkan peranan penting dalam meningkatkan rasa ingin tahu rakyat berhubung pelbagai skandal melibatkan pemimpin kerajaan BN. Malah, pada hari ini, masyarakat memilih membaca media independan seperti Malaysiakini dan MalaysianInsider berbanding Utusan Malaysia atau New Straits Times (NST) kerana mahu mengetahui maklumat sebenar.
Ini menyebabkan reputasi UMNO BN semakin hancur, lebih-lebih lagi apabila media mendedahkan segala butiran skandal kewangan Najib yang juga Presiden UMNO. Ia bakal memusnahkan parti itu dalam Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Melihat situasi semakin meruncing, Apandi muncul sebagai hero utama UMNO BN – bukan sahaja membebaskan Najib dari pertuduhan rasuah tetapi turut cuba memperketat OSA bagi menimbulkan ketakutan di kalangan pemberi maklumat (whistleblower) dan penerima maklumat seperti media.
Dalam sibuk menjadi Superman, Apandi lupa kenyataannya itu turut memusnah reputasinya apabila kredibiliti beliau sebagai Peguam Negara mula dipersoal rakyat, termasuk pengamal media. Beliau kini dilihat sebagai ‘pak turut’ Najib Razak yang mahu mendiktatorkan negara.
Tambahan pula, beliau mengaitkan situasi Malaysia dengan China apabila mengatakan negara itu mengenakan hukuman mati kepada pembocor rahsia kerajaan.
Namun, seperti dikatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Apandi perlu ingat, pelaku rasuah di China juga dihukum dengan hukuman mati. Adakah Apandi berniat untuk membuat pindaan sama terhadap jenayah rasuah di negara ini?
Tidak dinafikan perkara melibatkan keselamatan dan pertahanan negara perlu dijaga. Sebagai contoh, strategi pertahanan negara tentulah tidak boleh didedah kepada umum. Namun, mendedahkan rasuah dan ketirisan dalam kerajaan bukanlah kelakuan mengancam keselamatan negara, malahi menyelamatkan negara dari pemimpin tidak bermoral.
Justeru, cadangan Apandi agar OSA diperketat harus diabai semua pihak kerana ia langsung tidak relevan di negara yang mendukung sistem demokrasi seperti Malaysia. Ia cumalah satu cara menghalang rakyat dari terus mendedah kebenaran berhubung skandal pemimpin.
Malah, OSA wajar diganti dengan Akta Kebebasan Maklumat yang dapat memastikan rakyat adai hak memperoleh maklumat berkaitan wakil rakyat dipilih mereka. Akta itu turut membenarkan segala skandal kewangan dan ketirisan melibatkan kerajaan dibongkar secara telus dan adil.
Apandi mungkin merasakan kenyataan berbaur ugutannya itu mengecutkan perut rakyat, lalu melenyapkan rasa ingin tahu mereka terhadap skandal pemimpin UMNO BNi. Namun sebenarnya, ia hanya menjadikan Apandi sebagai Peguam Negara paling banyak dicemuh abad ini, suatu rekod baru. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan