Ahad, 21 Februari 2016

ALAMAKKK.......

 shahbudindotcom

 

 
 
 
Tidak cukup dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)  yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas aduan berkaitan kandungan jelik di internet, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan mencadangkan undang-undang baru digubal bagi membolehkan penulis blog mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau KKMM.

Katanya, langkah itu sebagai usaha mengekang penulisan tidak bertanggungjawab dan berunsur fitnah, selain bertujuan untuk memastikan mutu penulisan dalam laman blog atau pengguna laman sosial dibuat secara betul, sah, beretika dan tidak menyalahgunakan kemudahan internet.

Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ( Akta 588), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah pun mempunyai dua peruntukan penguatkuasaan berhubung kandungan internet iaitu Seksyen 211 (Larangan terhadap pemberian kandungan jelik) dan Seksyen 233 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dll).
 
 
 
 
 
Melalui kedua-dua seksyen itu, sesiapa yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Apakah masih tidak cukup dengan dua seksyen tersebut untuk mengawal serta mengawasi penulis blog dan pengguna laman sosial?

Dalam keadaan yang lain, sekatan terhadap blog juga sudah biasa dilakukan oleh SKMM terhadap beberapa laman yang dianggap melanggar undang-undang.

Oleh itu, dengan segala undang-undang sedia ada,  apa perlunya lagi dikuatkuasakan peraturan agar mereka mendaftar dengan KKMM?

Apakah kerana UMNO dan kerajaan kerapkali tewas dalam persaingan di internet, maka undang-undang itu mahu diwujudkan?

Tidakkah ini bertujuan mengekang lagi kebebasan bersuara rakyat setelah sebelum ini Peguam Negara turut bercadang mengetatkan undang-undang Akta Rahsia Rasmi atau OSA sehingga hukuman penjara seumur hidup terhadap mereka yang terlibat membocorkan rahsia kerajaan serta media yang melaporkannya?

Apa sudah jadi dengan negara ini dan di mana lagi letaknya kebebasan rakyat dalam bersuara?

Jika semua mahu dikekang, apa lagi yang tinggal?


Tiada ulasan: