Wednesday, January 27, 2016

OA: ADUN tembak angin, polis enggan terima laporan

Zulaikha Zulkifli


 


Sekumpulan Orang Asli membuat laporan kepada bahagian tatatertib polis, mendakwa beberapa pegawainya di sebuah balai di Perak enggan menerima laporan berkaitan tingkah laku seorang wakil rakyat.

Mereka mendakwa seorang anggota Dewan Undang Negeri (ADUN) melepaskan tembakan ke udara ketika melawat kampung mereka di Temenggor, Perak, kerana tidak berpuas hati dengan langkah pembangkang memasuki kawasan itu.

Bagaimanapun, dakwa mereka, ketika hendak membuat aduan, pegawai bertugas di balai itu enggan mengambil laporan mereka.

"Kami rasa tidak puas hati sebab kami hanya nak buat laporan polis tentang satu tindakan yang kami anggap sebagai tindakan jenayah yang dilakukan oleh ADUN itu.

“Tetapi sebaliknya kami pengadu yang digertak lagi dan dimaki oleh pihak polis," menurut makluman bertulis yang diserahkan kepada bahagian tatatertib polis itu.

Mereka mendakwa telah tiga kali cuba membuat laporan polis kepada balai itu, kesemuanya pada minggu lepas.

Laporan kepada bahagian tatatertib polis hari ini dibuat oleh Anjang Aluej, Jekeh Senangoh, Mohammad Lokman Jali, Muhammad Ghazali Jali dan Ramli Aluej.

Menurut peguam yang mengiringi mereka Shashi Devan berkata, pihak Bukit Aman berkata akan memaklumkan mereka jika kertas siasatan akan dibuka dalam kes itu.

"Pada ketika ini hanya laporan kepada bahagian tatatertib sahaja dibuat tetapi belum ada pegawai penyiasat yang ditugaskan untuk siasat berhubung laporan yang kita buat," katanya kepada pemberita di luar Bukit Aman hari ini.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi balai polis dan ADUN berkenaan.


1 comment:

77777 said...
This comment has been removed by a blog administrator.