Rabu, 19 Ogos 2015

'Tolong benarkan Anwar dibedah'

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

 
PETALING JAYA - PKR mendesak kerajaan agar prihatin dengan keadaan kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semakin serius.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata,  Kementerian Dalam Negeri ( KDN ),  Jabatan Penjara dan pihak hospital sudah maklum mengenai kecederaan bahu yang dialami bapanya itu.

Menurut beliau, kecederaan itu sudah bertambah buruk, menyebabkan ketidak selesaan dan kesakitan kepada Anwar.

"Kecederaan ini menyebabkan kesakitan berterusan kepada Datuk Seri Anwar dan mendesak untuk dilakukan pembedahan dalam kadar segera.

"Kami telah memohon dan merayu rawatan dan penyelesaian untuk masalah tersebut secara terus dan juga melalui peguam kami. (Bagaimanapun ) rayuan kami setakat ini tidak diendahkan oleh pihak berkuasa, " katanya pada sidang media di ibu pejabat Keadilan sebentar tadi.

Pada Julai lalu Anwar sekali lagi di masukkan ke Hospital Kuala Lumpur susulan kecederaan bahu yang dialaminya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui tweetnya meminta pihak bertanggungjawab memberikan rawatan yang terbaik kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Nurul Izzah berharap, perdana menteri mengotakan janjinya dan segera memberikan rawatan sewajarnya kepada bapanya.

Ahli Parlimen Kuala Langat,  Abdullah Sani berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi rawatan kepada penghuni penjara.

"Tolonglah ini rayuan kami. Tolonglah (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi ada sikap perikemanusiaan pada Datuk Seri Anwar," katanya.

Bekas Ketua Pembangkang itu dimasukkan ke penjara Februari lalu setelah mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap beliau.


Tiada ulasan: