shahbudindotcom
Walaupun
perhimpunan Bersih 4 secara umumnya menuntut empat perkara asas iaitu
pilihanraya bersih, kerajaan bersih, menyelamatkan ekonomi dan hak
rakyat untuk membantah, tetapi rata-rata yang hadir lebih mahukan
pengunduran Najib Razak sebagai Perdana Menteri.
Melalui
hari pertama perhimpunan yang menyaksikan ratusan ribu sedia turun
dengan baju berwarna kuning, sejarah juga tercatit di mana rakyat sedia
berhimpun selama dua haru satu malam semata-mata untuk meluahkan
perasaan mereka.
Sudah
tentu kesediaan rakyat berkorban meninggalkan tempat tidur yang selama
di rumah masing-masing semata-mata untuk membantah adalah kerana satu
sebab yang paling asas iaitu keinginan menolak Najib dan menyaksikan
beliau segera digantikan sebagai peneraju negara ini.
Dengan
kesediaan berhimpun dalam tempoh 34 jam dan sehingga ini menyaksikan
semangat mereka tidak kendur walau sedikit pun, jika Najib tidak sedia
mendengar suara rakyat ini, perhimpunan rakyat akan berterusan lagi di
masa-masa akan datang dan mungkin berlangsung dalam tempoh yang lebih
lama lagi.
Bersih
4 kali ini bukan saja luahan suara penolakan sebenarnya, tetapi juga
jeritan kebencian terhadap Najib. Jika sekadar menuntut empat perkara
asas tersebut tanpa disertai dengan keghairahan untuk melihat agar Najib
segera berundur, tidak mungkin peserta Bersih 4 daripada berbilang kaum
begitu bersemangat seperti ini.
Selepas
Tun Mahathir Mohamad juga turut sama turun memberi sokongan kepada
peserta Bersih dengan kata-kata "teruskan, teruskan", gelombang
penyertaan rakyat di hari kedua dijangka akan terus meningkat sehingga
ia berakhir pada malam nanti.
Tidak mustahil menjelang penutup perhimpunan ini nanti, peserta perhimpunan akan mencecah angka 250 hingga 300 ribu ramainya.
Ahli
dan penyokong UMNO tetapi mahukan Najib berundur berikutan pelbagai
masalah yang ditimbulkannya sejak akhir-akhir ini, tentu saja tidak
keberatan untuk turun sama memeriahkan dan memberi sokongan kepada
Bersih 4 ini, terutama selepas Tun Mahathir dan isteri, Tun Siti Hasmah
turut hadir memberi sokongan.
Sepertimana
kata Tun Mahathir di Johor Bahru semalam, oleh kerana undang-undang
telah dicabuli dan rakyat telah hilang keyakinan kepada sistem dalam
kerajaan, maka rakyat tiada pilihan selain menyatakan bantahan mereka
secara terbuka melalui demonstrasi.
Setelah
perhimpunan hari pertama Bersih 4 yang tentunya Najib sendiri sudah
mendapat pelbagai laporan melalui gambar dan video mengenainya,
sebenarnya inilah masanya untuk beliau bermuhasabah dan menyedari di
mana nilainya dirinya di mata rakyat sekarang.
Selain
rakyat sudah secara terbuka menyatakan bantahan dan menunjuklan
kebencian, suara yang membelanya juga semakin sayup-sayup dan tidak lagi
kedengaran.
Pemimpin
kanan dalam parti dan kerajaan, termasuk sayap-sayap yang selama ini
dikenali sebagai barisan gagah dan berani, hampir semuanya menghilang
diri atau menyembunyikan diri dan seolah-olah tidak mampu lagi
mempertahankan kedudukan Najib yang kian tenat di hati rakyat ketika
ini.
Kepada
Najib, berhentilah untuk terus bergayut pada kuasa dan imbaslah kembali
sejarah ramainya pemimpin dunia yang akhirnya bukan saja kecundang
tetapi hidup dalam kehinaan semata-mata kerana ingin berterusan melawan
suara keramat rakyat.
Apabila
suara rakyat makin membuak-buak, ia adalah isyarat "pergi" yang tidak
perlu dilewat-lewatkan lagi. Sokongan berdasarkan "cash is king"
daripada Ketua-Ketua Bahagian juga sudah tidak bermakna lagi dalam
situasi ini.
Suara
penolakan dan kebencian tiada ubatnya lagi, kecuali penawarnya ialah
pengunduran Najib dengan serta-merta. Jika tidak, episod demi episod
bantahan rakyat bukan saja berlarutan sehingga tarikh pilihanraya akan
datang, malah ia akan menyebabkan ketidaktentuan yang berterusan kepada
negara.
Bersih 4 adalah isyarat "bye bye" paling nyata dan menunjukkan sudah tiada jalan selamat lagi buat Najib.
Buat pertama kali peserta demo sanggup tidur di atas jalan berselimutkan angin malam dan bertilamkan batu sebagai lapik badan...
1 ulasan:
Tontoni di Youtube " A Dangerous Life... (Full Movie ) The Assassination of Benigno Aquino " Nanti nampaklah mirip Rosmah ngan Najib.
Catat Ulasan