SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Rakyat di seluruh negara menyambut ambang Merdeka,
menandakan bermulanya sambutan Hari Kebangsaan 2015 di seluruh pelusuk
negara dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan di sebalik pelbagai
cabaran yang dihadapi.
Acara kemuncak sambutan tertumpu di perkarangan Stadium Bukit Jalil
dengan acara mengira detik 12 malam menandakan tibanya 31 Ogos, hari
kemerdekaan negara.
Laungan "Merdeka!" dan nyanyian lagu Negaraku dinyanyikan penuh
bersemangat oleh ribuan hadirin pada detik itu sebelum cahaya bunga api
menerangi langit di kawasan itu.
Di SHAH ALAM, ribuan pengunjung menyertai program ambang Merdeka peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan.
Program itu dihadiri Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali,
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan exco
kerajaan negeri.
Selain bacaan ikrar Rukun Negara, program itu turut dimeriahkan dengan
acara menaikkan Jalur Gemilang dan persembahan bunga api.
Di KUCHING, majlis kesyukuran diadakan di Masjid Bahagian Limbang
menandakan sambutan ambang itu dengan dihadiri antaranya Yang Dipertua
Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan
Satem.
Di JOHOR BAHARU, antara acara menarik menyaksikan pelancaran Projek
Johor Free Wifi, yang bakal menyaksikan sebanyak 135 kawasan hotspot
wifi percuma di seluruh Johor hari ini.
Di KUALA NERUS, lebih 10,000 orang membanjiri sekitar Kompleks Sukan
Stadium Tertutup Gong Badak di sini bagi menyambut malam ambang Merdeka.
Di SEREMBAN, sambutan itu dimeriahkan dengan perarakan 16 buah kereta
berhias daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, institusi
pengajian tinggi, parti politik serta swasta.
Di MELAKA, sambutan di Jalan Hang Tuah diserikan dengan nyanyian
dondang sayang dan tarian joget yang sinonim dengan negeri itu.
Di KANGAR, sambutan ambang Merdeka itu didakan di Kompleks Sukan Tuanku
Syed Sirajuddin Putra antaranya meliputi persembahan kebudayaan dan
nyanyian lagu-lagu patriotik. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan