Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata pemimpin Umno Selangor harus melakukan perubahan sikap dan minda bagi memenangi hati dan minda pengundi.
"Kalau kita mahu menjadi kerajaan negeri Selangor semula, kita harus membuktikan bahawa Barisan Nasional (BN) dan Umno adalah lebih baik daripada kerajaan negeri yang sedia ada.
"Pada PRU ke-14, Umno dan BN Selangor akan semakin kukuh, diperkasakan dan memacu sokongan dan dorongan pengundi untuk mengundi semula BN dan Umno," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Puchong di Tapak Expo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini pada Isnin.
Ahmad Zahid berjanji beliau akan turun padang membantu Umno Selangor menebus kekecewaan, sekali gus merampas kembali Selangor pada PRU ke-14.
"Walaupun saya bukan bapa angkat Umno Selangor, saya sudi turun padang membantu 22 Bahagian Umno di Selangor. Saya akan membantu memperkuatkan jentera di semua bahagian, parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk memastikan UMNO Selangor kukuh," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri mahu sokongan di peringkat akar umbi diperkukuhkan menjelang PRU ke-14, khususnya sokongan dalam kalangan pengundi Cina dan India.
Sambil memberi contoh, beliau berkata sokongan pengundi Cina di Selangor kepada calon BN pada PRU ke-13, menjunam kepada 13.4 peratus berbanding 29.8 peratus pada PRU ke-12.
"Ini disebabkan budaya berbenci-bencian yang ditanamkan pihak pembangkang terhadap Umno dan BN. Ini menyebabkan masyarakat dan pengundi terpengaruh terutamanya pengundi atas pagar.
"Saya menyatakan perkara ini secara serius sebab saya ingin menyeru pemimpin Umno Selangor mengubah sikap dan mengambil peduli pengundi di peringkat akar umbi supaya kita boleh memenangi hati dan minda pengundi.
"Tolong ubah pemikiran pengundi Cina dan India supaya mengundi BN pada pilihan raya akan datang kerana pendekatan kita lebih baik daripada kerajaan Selangor sedia ada," katanya.
Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin Umno Selangor agar tidak menjadi pemimpin bermusim, sebaliknya mengambil berat ahli di peringkat akar umbi sepanjang masa.
"Jangan hanya mengambil peduli mereka di atas (pemimpin) sebaliknya yang di bawah (ahli di peringkat akar umbi) tidak diambil tahu...kalau tiada sokongan di bawah, tiada yang duduk di atas.
"Kita kena mengambil peduli pemimpin dan ahli akar umbi. Kita jangan jadi pemimpin bermusim yang hanya sibuk ketika pemilihan parti," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata adalah penting melakukan perubahan terhadap pendekatan dalam berkomunikasi dengan pengundi muda bagi meraih sokongan mereka.
"Generasi muda kini berkomunikasi secara dalam talian. Kalau kita mahu mendekatkan diri dengan golongan ini, pendekatan kita perlu diubah khususnya mereka yang bekerja di luar dan kembali mengundi pada pilihan raya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan