ADNAN MOHAMAD
Sebahagian daripada balak
yang dikatakan ditebang di kawasan pembinaan Lebuhraya Rakyat di Ulu
Sat, Machang sehingga membawa kepada penahanan 13 individu termasuk 11
kakitangan Jabatan Perhutanan. - Foto ihsan SPRM
KOTA BHARU, Dua lagi kakitangan Jabatan Perhutanan termasuk seorang yang baru bersara ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah berkaitan Projek Lebuhraya Rakyat di Hutan Simpan Ulu Sat, Machang, kelmarin.
Penahanan itu menjadikan seramai 13 individu sudah ditahan SPRM termasuk Ketua Pegawai Operasi (COO) sebuah syarikat berkaitan.
Difahamkan, tangkapan terbaru Khamis lalu
membabitkan dua lelaki berusia 58 dan 56 tahun yang sebelum ini
bertugas di Balai Pemeriksa Hutan, Machang dan mereka berdua dikatakan
turut menerima rasuah sekitar RM700 hingga RM10,000.
Menurut sumber, tangkapan itu dilakukan
sebaik soal siasat yang dilakukan oleh SPRM terhadap sembilan kakitangan
Jabatan Perhutanan yang ditahan Rabu lalu.
“Suspek yang berusia 58 tahun itu baru bersara sebulan lalu, manakala seorang lagi dijangka bersara Ahad ini.
“Siasatan menyeluruh masih dilakukan dan
SPRM dikatakan masih memburu beberapa individu yang turut terbabit dalam
kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Baldah Toyyibah
(PRASARANA) Sdn Bhd, Datuk Hanifa Ahmad pula berkata bersedia untuk
memberi keterangan kepada SPRM berhubung penangkapan ketua pegawai
operasinya, dipercayai dakwaan rasuah berhubung projek terbabit.
Hanifa yang juga Pengerusi Jawatankuasa
Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, mengakui
turut terkejut dengan perkara berkenaan dan apa yang berlaku itu di luar
pengetahuannya.
Bagaimanapun katanya, PRASARANA akan
bertanggungjawab meskipun kegiatan itu didalangi syarikat kontraktor
yang dilantik dan pihaknya akan membayar ganti rugi berdasarkan nilai
balak yang sudah ditebang.
“Buat masa sekarang, kita menunggu
siasatan yang dibuat SPRM. Namun, saya difahamkan berdasarkan maklumat
yang diberikan Jabatan Perhutanan, pembalakan haram itu berlaku di
kawasan pembinaan rehat dan rawat (R&R).
“Berapa banyak jumlah yang perlu kita
bayar belum diperoleh. Namun PRASARANA bertanggungjawab sepenuhnya
dengan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kelantan,
Datuk Abdul Aziz Aban ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbaru itu
dan siasatan lanjut masih dilakukan.
Penahanan pegawai kanan terbabit
dipercayai selepas menerima rasuah sekitar RM70,000 hingga RM80,000
daripada kontraktor yang membangunkan projek berkenaan di kawasan Hutan
Simpan di Ulu Sat, Machang, sehingga menyumbang kepada kegiatan
pembalakan haram.
Selain itu, SPRM juga turut menahan
sembilan kakitangan Jabatan Perhutanan Machang termasuk seorang pesara
serta seorang kontraktor yang didakwa menerima imbuhan sekitar RM700
sehingga RM10,000 setiap seorang.
Penahanan itu sekali gus mengesahkan
dakwaan yang dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk
Husam Musa, menerusi surat terbuka yang mendakwa berlaku pembalakan di
luar kawasan terbabit kerana ada pihak mengubah pelan asal yang
diluluskan kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan