Isnin, 31 Ogos 2015

Selepas Bersih 4, Dr Mahathir tidak kelihatan pada sambutan Merdeka



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (kanan), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (ke-2 dari kanan), Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak (ke-3 dari kanan) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (ke-2 dari kiri) pada majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. Kelibat Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kelihatan walaupun menerima jemputan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 31 Ogos, 2015.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (kanan), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (ke-2 dari kanan), Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Keruak (ke-3 dari kanan) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (ke-2 dari kiri) pada majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, hari ini. Kelibat Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kelihatan walaupun menerima jemputan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.
 
 
Dalam kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka yang dihadiri ribuan rakyat hari ini, kelibat mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kelihatan bersama barisan tetamu kehormat di pentas utama.

Selain anggota Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Yang Dipertuan Agong, hanya bekas perdana menteri keempat Tun Abdullah Ahmad Badawi dilihat berkongsi pentas bersama mereka.
 
"Ya, beliau tidak hadir," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak kepada The Malaysian Insider apabila diminta mengesahkan perkara itu.

Katanya, Dr Mahathir dijemput sebelum ini tetapi memberi jawapan tidak dapat hadir ke sambutan Hari Kemerdekaan itu,
 
Antara menteri yang hadir adalah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada hujung minggu yang baru berlalu, Dr Mahathir hadir 2 kali pada perhimpunan 34 jam Bersih 4 yang diadakan di sekitar kawasan Dataran Merdeka – sekitar 20 minit pada Sabtu dan lebih lama semalam.
 
Salleh yang semalam melahirkan kekecewaan terhadap tindakan bekas perdana menteri itu, hari ini berkata, Umno perlu mengambil tindakan sewajarnya di atas kehadiran Dr Mahathir buat kali ke-2 ke perhimpunan Bersih 4 semalam.
 
"(Kehadiran Dr Mahathir) satu perubahan yang besar, kerana beliau satu ketika dahulu tidak menyokong demonstrasi.
 
"Umno perlu mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap beliau," katanya yang semalam berkata beliau menyerahkan kepada kepimpinan Umno sekiranya mahu mengambil tindakan tatatertib terhadap Dr Mahathir.
 
Pada Ahad, beliau mengadakan sidang media, mengatakan beliau menyertai perhimpunan itu kerana demonstrasi satu-satunya cara untuk menurunkan Najib.
 
Mengulas perkara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Dr Mahathir bertindak di luar batasan apabila menghadirkan diri pada himpunan Bersih itu.

Bercakap kepada wartawan selepas berakhirnya sambutan Hari Kebangsaan, Salleh melahirkan kesyukuran majlis hari ini berjalan lancar seperti dirancang.

"Nampaknya para peserta dan hadirin begitu semangat sekali sama-sama meraikan hari yang bahagia ini. Walaupun ada perhimpunan Bersih (semalam), Alhamdulillah tiada kekecohan berlaku," katanya.

Seawal 7 pagi, ribuan rakyat termasuk pelancong asing membanjiri Dataran Merdeka.

Acara sambutan dimulakan dengan acara “Derap Seragam”, iaitu persembahan terbaharu oleh 900 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disusuli persembahan serentak bersama-sama pelajar dengan melakukan kawad berirama.

Pengunjung turut disajikan dengan perbarisan kontinjen pembawa Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri oleh para pelatih Institut Kemahiran Belia Negara, disusuli kontinjen Eksplorasi Sehati Sejiwa.

Kontinjen eksplorasi dipelopori Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan gabungan sektor kerajaan, badan bukan kerajaan dan sektor korporat menjelajah ke seluruh negara dengan membawa gelombang semangat patriotisme 'Sehati Sejiwa' untuk rakyat.
 
Selain itu, pelbagai maskot daripada animasi terbitan syarikat-syarikat animasi tempatan antaranya Upin dan Ipin dan BoboiBoy yang menyertai kontinjen animasi, diikuti beberapa kontinjen lain.
 
Turut menjadi perhatian perarakan aset daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang digunakan untuk mengawal lalu lintas, kenderaan pengiring orang kenamaan dan rondaan.


Tiada ulasan: