Isnin, 31 Ogos 2015

Bersih 4.0 berakhir, 34 jam penuh dengan mesej

Himpunan Bersih 4.0 masuk hari kedua
Pemandangan atas keadaan di Dataran Merdeka dan Jalan Tun Perak telah dipenuhi oleh ribuan peserta perhimpunan Bersih 4.0. - Foto oleh JAZALY AMRY JAAFAR


KUALA LUMPUR - Bersemangat, energetik dan tidak kenal erti penat. Itu yang boleh disimpulkan mengenai momentum ribuan peserta Bersih 4.0 di hari pertama dan kedua penganjurannya berlangsung.
Memasuki hari kedua, lautan manusia berbaju T kuning dilihat tetap membanjiri pelosok ibu kota dengan jumlah yang hampir sama dengan hari pertama perhimpunan semalam.

Malah, sejak awal pagi lagi, peserta sudah memenuhi kawasan sekitar Dataran Merdeka untuk mengikuti pelbagai program diatur penganjur seperti solat Subuh berjemaah dan senaman ringan.‎

Malah kebanyakan daripada peserta tidak pulang sejak hari pertama menyertai himpunan itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan Bersih 4.0 masuk hari kedua]

Dalam misinya untuk  mencapai matlamat penganjuran selama 34 jam, peserta tidak pernah 'kering' dengan pelbagai aktiviti bagi merancakkan lagi suasana himpunan itu.

Di Dataran Merdeka, selain ucapan pemimpin dan tokoh politik yang hadir, terdapat juga persembahan nyanyian oleh kumpulan yang menggelar diri mereka 'BangsArt'.

Sementara di sepanjang Jalan Tun Perak berhadapan LRT Masjid Jamek meriah dengan perarakan peserta sambil memainkan peralatan muzik yang diperbuat daripada bahan terpakai.

Bagaimanapun, tiupan vuvuzuela oleh peserta ternyata mengundang rasa kurang senang sebahagian yang lainnya.

Terdapat banyak sepanduk dipamerkan agar peserta menghentikan tiupan vuvuzuela kerana mengganggu ucapan pemimpin.

Sekitar jam 3.30 petang, suasana yang panas diredakan seketika apabila hujan turun dengan lebatnya namun tidak menghalang peserta untuk terus berhimpun.

Hujan juga membuka pintu rezeki kepada peniaga yang mengambil peluang untuk menjual payung dan baju hujan.

Selepas hujan reda, peserta kembali meneruskan aktiviti mereka walaupun ramai yang sudah pulang.

Sekitar jam 4.30 petang, peserta Bersih 4.0 yang berhimpun di Pasar Seni menerima kejutan apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kemunculan keduanya dalam perhimpunan itu dan memberi sedikit ucapan.

Dalam sidang media selepas itu, Dr Mahathir memaklumkan tujuan kehadirannya untuk menyokong rakyat.

Pentas himpunan pula kembali tenang apabila ia 'direhatkan' pada pukul 5 petang.

Seawal jam 8 malam, pentas utama Himpunan ‎di Dataran Merdeka mula dihangatkan dengan 'konsert ringan' sehinggalah jam 10.00 malam.

Seusai persembahan, kini giliran ahli politik mengambil tempat untuk beraksi di pentas himpunan itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang memula bicara, 10 minit kemudian tempatnya diambil alih oleh Mohamad Sabu untuk terus menyampaikan ucapannya.

Sehingga detik 12 malam akhirnya lagu Negaraku berkumandang maka berakhirlah himpunan Bersih kali ini.

Kelihatan anggota polis tetap berkawal di Dataran Merdeka bagi memastikan peserta tidak memasuki kawasan itu.

Sedikit kekecohan turut berlaku sewaktu peserta himpunan mula bersurai namun keadaan terkawal.

Namun di sebalik sikap positif yang ditunjukkan peserta, terdapat beberapa insiden yang boleh dianggap mencemarkan perhimpunan.

Antaranya masih ada peserta yang kurang peka dengan larangan penganjur supaya tidak membawa anak kecil ke perhimpunan.

Lebih menyedihkan, ada yang membawa bayi kurang daripada 12 bulan.

Selain itu, peserta juga dianggap kurang sensitif dengan sensitiviti umat Islam apabila tidak mempedulikan laungan azan dari Masjid Jamek dan terus bersorak.

Bagaimanapun, tindakan mereka mendapat teguran penganjur Bersih 4.0, Marina Chin Abdullah yang mengarahkan peserta menghormati azan.


Tiada ulasan: