Rabu, 19 Ogos 2015

Kalau majoriti cukup, apa salahnya

Lim Kit Siang
Kit Siang


KUALA LUMPUR - "Kalau kita (Ahli Parlimen) tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan cukup majoriti mahu dia dihentikan apa salahnya?" demikian kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika disoal oleh media mengenai isu 'guling kerajaan'.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, istilah guling kerajaan adalah tidak tepat untuk menggambarkan keadaan tersebut (situasi ahli parlimen untuk memberi undi tidak percaya kepada PM), kerana guling kerajaan itu merujuk kepada kekerasan dan tidak bertindak mengikut Perlembagaan.

"Sampai sekarang tidak ada bukti bahawa ada usaha untuk menggulingkan kerajaan, mana? Mengguling apa ertinya? Ialah menggunakan cara kekerasan, cara tidak ikut Perlembagaan itu.

" MP tidak percaya pada PM bukan guling, dalam sistem demokrasi MP boleh tukar PM sama ada dalam Dewan Rakyat melalui undi tidak percaya atau luar dewan ikut formula Perak," katanya pada sidang media DAP di Ibu Pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Kit Siang berkata, beliau tidak dapat memastikan adakah benar adanya dakwaan yang membabitkan ahli Umno untuk jatuhkan Najib.

"Saya tidak pasti ada ke tiada, cuma kalau ada, kalau mereka tidak mahu Najib lagi, mereka boleh lakukan dengan cara undi tidak percaya (ikut Perlembagaan)," katanya.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada mendedahkan komplot untuk menjatuhkan Najib membabitkan pemimpin Umno.

Namun dakwaan yang membabitkan pemimpin Umno seramai 20 orang sepertimana yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak disangkal oleh Pengerusi BNBBC, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad semalam.

Tiada ulasan: