Isnin, 31 Ogos 2015

Penganjur dakwa 500,000 hadiri BERSIH 4

Shakira Buang  





Perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung di Dataran Merdeka selama 34 jam yang berakhir tengah malam tadi mencatatkan kehadiran kira-kira 500,000 orang, dakwa penganjur.

"Keseluruhan peserta yang hadir ke perhimpunan BERSIH 4 selama 34 jam ini dianggarkan seramai 500,000 orang," kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Bercakap dalam sidang media di ibu negara petang ini, Maria berkata pihaknya sedia mempertimbangkan kemungkinan untuk mengadakan BERSIH 5 jika dua mesej utamanya itu tidak akan menjadi realiti.

"Kami akan mempertimbangkan penganjuran Bersih 5," katanya Maria sambil menyifatkan perhimpunan dua hari itu berjaya.

"Hari ini kita ulang lagi tuntutan kita sehingga kita dapat mencapainya. Kita bukan hanya hendak perdana menteri berundur, tapi kita hendak reformasi institusi," katanya.

Dalam sidang media itu juga, Maria mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk NGO, pemimpin parti politik dan kumpulan BangsArt yang turut menghiburkan peserta dalam perhimpun itu malam tadi.

Dataran Merdeka bertukar menjadi lautan kuning ketika Bersih 4 memasuki jam terakhirnya malam tadi.
Jalan di sekitar dataran bersejarah itu penuh padat apabila ramai peserta tiba pada saat penghujung acara.

Khalayak turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan di pentas utama malah orang ramai turut melaungkan "Bersih, Bersih" dan mencipta suasana meriah dengan bunyi tiupan vuvuzela memenuhi ruang udara.

Pada awal malam, beberapa speaker menyampaikan ucapan di depan peserta di beberapa lokasi, termasuk di Jalan Tun Perak dan Jalan Tuanku Abdul Rahman.


Tiada ulasan: