SINAR HARIAN
BACHOK - Pas hari ini melahirkan rasa kesal terhadap tindakan peserta
perhimpunan haram Bersih 4 yang didakwa memijak gambar Presidennya Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata perkara
berkenaan tidak seharusnya berlaku kerana tindakan itu dilihat telah
menghina Abdul Hadi.
"Kalau betul benda itu berlaku, bukan edit (disunting) maka memang tak
sepatutnya berlaku. Gambar siapa-siapapun, terlebih lagi pemimpin tak
sepatutnya kita hina, itu pendirian kitalah.
"Bukan setakat pemimpin Pas, mana-mana pemimpin pun. Kita sendiri pun
tak pernah pijak gambar pemimpin (lain) walaupun kita berlawan dengan
Umno atau siapa (pemimpin parti) pun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan
Hari Kebangsaan 2015 di Institut Kemahiran Belia Negara(IKBN) Bachok di
sini.
Mohd Amar mengulas tindakan peserta Bersih 4 yang menjadi viral di
media sosial selepas didakwa memijak gambar Abdul Hadi dan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan
berkata penyertaan peserta Melayu dalam perhimpunan Bersih kali ini
berkurangan apabila Pas tidak terlibat secara aktif berbanding beberapa
siri perhimpunan itu sebelum ini.
"Tapi pendirian Pas, kita tak arah dan tidak larang (anggota parti
untuk sertai Bersih 4). Mereka (ahli parti) yang pergi atas (kapasiti)
individu, bukan atas (arahan) parti," katanya.
Pas menarik diri daripada menyertai perhimpunan berkenaan selepas
memutuskan hubungan dengan rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang,
DAP, pada muktamar tahunan parti itu baru-baru ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan