Khamis, 27 Ogos 2015

Keputusan rayuan Khir Toyo ditangguh

Mohamad Khir Toyo
Mohamad Khir Toyo
 
 
PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan sebentar tadi terpaksa menagguhkan keputusan rayuan bekas Menteri Besar Selangor, Dr  Mohamad Khir Toyo selepas Mohamad Khir tidak hadir ke mahkamah.
 
Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin menangguhkan keputusan itu selepas Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Mohamad Khir memaklumkan anak guamnya masih ditahan di Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan sejak semalam.
 
Korum yang turut dianggotai Tan Sri Ahmad Maarop; Tan Sri Hasan Lah; Tan Sri Jeffery Tan Kok Hwa; dan Datuk Ramly Ali seterusnya menetapkan 22 September depan untuk keputusan.
 
Mahkamah Persekutuan sepatutnya memberikan keputusannya hari ini selepas Mohamad Khir selaku perayu dan pihak pendakwa raya sebagai responden selesai mengemukakan hujahan masing-masing pada 19 Januari lalu.
 
Semalam media melaporkan Mohamad Khir dikejarkan ke Hospital Selayang apabila rebah selepas berjoging di kawasan rumahnya di Seksyen 7 Shah Alam.
 
Setelah mendapatkan rawatan di Hospital Selayang, Mohamad Khir kemudiannya dirujuk ke IJN untuk pemeriksaan lanjut.
 
Mohamad Khir, 49, merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 30 Mei tahun lalu yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara atas tuduhan mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zahrah Kechik, 48, hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.
 
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember dua tahun lalu yang mengarahkan perayu dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan ia akan diserahkan kepada kerajaan.
 
Mohamad Khir dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui Shamsuddin Hayroni yang merupakan pengarahnya.
 
Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.
 
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
 
 
 

Tiada ulasan: