KUALA LUMPUR, Penggunaan Sistem Rumah Pasang Siap (IBS) di negara ini tidak memberi jaminan penurunan harga hartanah pada masa hadapan.


Presiden Harta Tanah Dan Persatuan Pemaju Perumahan (REHDA), Datuk Seri Fateh Iskandar Mohd Mansor berkata, ini kerana kos pembinaan bukan sahaja melibatkan kos tenaga kerja tetapi juga membabitkan lain-lain kos.

“Untuk jangka panjang IBS dilihat mampu mengurangkan kos pembinaan tetapi tidak untuk tempoh awal penggunaan sistem ini kerana kos permulaan yang tinggi perlu dilabur untuk jentera dan pengilangan.

“Kekurangan tenaga pakar untuk mengendalikan IBS pada masa kini akan menyebabkan lebih banyak latihan pengendalian diperlukan dan ini akan mengakibatkan kos buruh meningkat sekaligus menyumbang kenaikan kos pembinaan secara keseluruhan,” ujarnya kepada The Rakyat Post.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) untuk menggunakan IBS dalam sektor perumahan di negara ini.

Isnin lalu, KRI melalui kajiannya mendedahkan harga rumah yang terlalu tinggi menyebabkan ia tidak mampu dimiliki rakyat sekaligus mencadangkan pemaju mengetengahkan IBS di negara ini.

Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Mokhzani berkata, polisi perumahan yang tertumpu kepada aspek permintaan perlu diubah kepada menyelesaikan aspek bekalan yang tidak efisyen.

Fateh Iskandar juga berkata, REHDA sentiasa menyokong sebarang polisi yang dapat membawa kebaikan kepada industri.

“Jika dapat meningkatkan bekalan pasaran adalah antara langkah terbaik untuk mengawal kenaikan harga rumah tetap dengan pelbagai beban dan cabaran yang dihadapi oleh pemaju hari ini, adakalanya sukar untuk meningkatkan produksi,” ujarnya.