Seorang menteri hari ini mempermainkan Bersih 4, mengatakan walaupun empat perhimpunan seumpamanya diadakan setakat ini, kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN) masih kukuh.
Dalam satu siri tweet di akaunnya @mpkotabelud, Datuk Abdul Rahman Dahlan juga berkata, cabaran sebenar ialah menangani akar umbi, yang menurutnya, merupakan kekuatan BN.
"Perhimpunan Bersih 4 & kerajaan masih tegak berdiri. Bila baru mereka akan sedar yang pertempuran sebenar ialah di akar umbi, yang merupakan kekuatan BN?" kata pengarah strategik komunikasi BN itu dalam tweetnya, menggunakan bahasa Inggeris.
"Banyak benda lagi nak buat untuk menang. Bukan setakat pakai baju-t kuning, berkhemah semalaman, atau tiup vuvuzela, riuh dan bising!" Rahman juga cuba memperkecilkan bilangan peserta perhimpunan itu yang dianggarkan penganjur mencecah 300,000 sekarang, lebih ramai daripada 100,000 pada waktu kemuncak semalam.
"100k+? Mana ada! Don't flatter yourself la. But at 20k count, it is still a good effort of Bersih4 (Jangan perasan la. Tapi dengan 20k, masih satu usaha yang cukup baik oleh Bersih4)," katanya.
Ditanya pengguna Twitter bernama Syamsul Al-Jitrawi sekiranya beliau merasa terancam dengan kehadiran yang besar itu, menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu sekali lagi berkata sejarah membuktikan perhimpunan gagal menggulingkan kerajaan.
"Merasa tergugat sedikit sekarang, maka terpaksa meyakinkan diri sendiri dengan fakta ini?" soal Syamsul melalui akaunnya @Syamsul_Azhar.
Rahman menjawab:"Tidak sama sekali. BN sudah buktikan berkali-kali. Perhimpunan tidak akan mengubah realiti ini."
Beliau bagaimanapun bersetuju dengan seorang lagi pengguna Twitter di akaun @muhdyunus5179 yang berkata, tindakan aktivisme bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan tetapi sebagai lontaran suara hati nurani untuk kerajaan.
"Kenyataan ini okay," kata menteri itu menjawab tweet itu.
Walaupun perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, sudah melebihi 24 jam, sokongan untuk perhimpunan itu seolah-olah terus kuat berdasarkan bilangan yang hadir hari ini.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, ramai lagi dijangka hadir malam ini untuk acara kemuncak perhimpunan itu pada tengah malam.
Walaupun cuaca agak panas petang ini, ramai peserta perhimpunan yang terus berlegar di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya ketika mereka bersedia menunggu pelbagai program yang akan diadakan sehingga acara kemuncak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan