SHAH ALAM - Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata,
sepanjang beliau menceburi bidang politik, beliau melihat pentadbiran
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak paling membawa masalah
kepada negara.
Katanya, masalah itu bukan sahaja terkait dengan masalah politik,
sebaliknya memalit semua masalah yang ada di dalam negara ini termasuk
sosial dan ekonomi negara.
"Saya terlibat dalam politik lebih 40 tahun. Saya pernah melihat
bagaimana negara berhadapan dengan kegawatan ekonomi pada 1997 dan 1998,
tetapi tidak teruk seperti sekarang.
“Kalau dilihat ketika ini pentadbiran kerajaan bukan sahaja menghadapi
masalah politik tetapi terkait sekali masalah ekonomi, sosial dan
kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu sesi wawancara khas bersama
Sinar Harian, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pelbagai polemik yang melanda
pentadbiran Perdana Menteri ketika ini, antaranya isu 1Malaysia
Development Berhad (1MDB), isu derma RM2.6 bilion, kejatuhan ringgit.
Mustafa yang juga bekas Setiausaha Agung Pas menambah, Perdana Menteri
yang terdahulu juga tidak pernah berhadapan dengan kritikan dan masalah
sebagaimana yang dihadapi Najib ketika ini.
"Sejak (Allahyarham) Tun Abdul Razak hinggalah Tun Dr Mahathir Mohamad,
saya rasa inilah masalah paling besar yang dihadapi negara (masalah
pentadbiran)," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata, ia bertambah buruk apabila persepsi
negatif mengenai negara mulai terbentuk hinggakan menjejaskan imej
negara di mata dunia.
"Lagi teruk apa yang kita hadapi ini bukan sahaja soal persepsi dalam
negara tetapi melibatkan persepsi luar terhadap kita dan isu kejatuhan
mata wang ringgit yang berterusan.
"Belum pernah sebelum ini mata wang kita serendah sekarang iaitu hampir
bersamaan AS$4 berbanding RM1. Adakah sampai nilai ringgit akan turun
sehingga AS$5? Minta tidak sampai ke situ.
“Selain itu belum pernah kita lihat di mana Perdana Menteri campur
tangan secara terang terangan dalam institusi negara yang penting
seperti Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), polis, pihak bank dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),"
katanya lagi.
Oleh itu ujarnya, semua pihak harus melakukan 'sesuatu' bagi memastikan
Malaysia kekal sejahtera seperti keadaan sebelum-sebelumnya.
"Banyak orang cakap bawah sampai atas mengenai perkara ini....ada orang
cakap undi tidak percaya di dalam Parlimen (untuk mendesak Najib lepas
jawatan)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan