Ahad, 30 Ogos 2015

Dr M ikut rakyat, sebab tak sokong Najib

Bersih 4.0
Tun Dr Mahathir Mohamad
 
 
KUALA LUMPUR -  'Ini (Bersih 4.0) demonstrasi pertama yang saya sertai'. Demikian pengakuan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di sebuah restoran di Pasar Seni, hari ini.
 
Menurutnya, banyak pihak yang mempertikaikan tindakannya menyokong himpunan Bersih 4.0 namun jelasnya, kehadirannya itu sebagai tanda solidariti kepada rakyat.
 
"Itu juga soalan ditanya...saya sokong rakyat. Bersih pun rakyat juga. Mereka pun tak suka Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak). Ada orang nak bagi buruk nama saya kononnya saya sokong Bersih.
 
"Bersih pun rakyat. Yang lain semua ini pun rakyat. Semua pakai baju kuning dan banyak yang tak pakai baju kuning," katanya.
 
Katanya, sebelum pemerintahan Najib, tidak memerlukan demonstrasi jalanan kerana laporan polis begitu berharga.
 
"Saya tak tahu (Bersih) ini ‘game changer’ atau tidak, saya di sini utk bersolidariti dengan rakyat sebab sekarang berjuta rakyat akses blog saya dan mereka mahu Najib berundur hanya sedikit yang menyokongnya.
 
"Dulu tak perlu (demo), dulu ada undang-undang. Kita buat laporan polis, Peguam Negara ambil tindakan. Tapi sekarang ini, buat laporan polis tapi polis tak boleh ambil tindakan sebab Najib tak bagi. 
 
"Oleh itu kali ini saya terpaksa sertai demonstrasi seperti ini. Dulu saya tak pernah sertai demonstrasi. Ini pertama kali," katanya.
 
Hari ini Bersih 4.0 menerima kehadiran Dr Mahathir buat kali kedua selepas semalam bekas Perdana Menteri itu sempat singgah ke kawasan Dataran Merdeka.
 
 
 

Tiada ulasan: