KUALA LUMPUR, Ketiadaan PAS dalam perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung sejak semalam, menyaksikan lautan manusia yang membanjiri kawasan sekitar Dataran Merdeka didominasi masyarakat bukan Melayu.


Perhimpunan selama 34 jam itu kurang mendapat sambutan masyarakat Melayu, apabila majoriti peserta dilihat terdiri daripada orang Cina yang turut bermalam di sekitar Dataran Merdeka.

Menurut penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Azizuddin Mohd Sani, orang Melayu berbelah bahagi untuk menyertai perhimpunan itu, disebabkan ketiadaan parti Islam, PAS.

Beliau ketika dihubungi The Rakyat Post menjelaskan, ia dapat dilihat berdasarkan kehadiran peserta bukan Melayu yang mencatat jumlah agak ramai pada perhimpunan kali ini.

“Sebelum ini, memang kita tengok jelas bahawa PAS adalah antara mereka yang berada di barisan hadapan, dengan kewujudan unit amal mereka dan sebagainya.

“Kalau dulu, mereka selalu hantar wakil macam Dr Idris Ahmad ke, jadi bila PAS tak ada, ahli PAS juga tak ada yang turut serta, maka bukan Melayu yang ramai hadir.

“PAS walaupun telah ada yang berpecah, dan GHB (Gerakan Harapan Baru) ada datang, tapi tak ramai Melayu yang hadir. Jadi, Melayu dilihat berbelah bagi untuk sokong Bersih,” katanya sebagai mengulas keadaan di himpunan Bersih 4 kali ini.

Jelasnya lagi, kerajaan khususnya Umno perlu mula bimbang, kerana sambutan rakyat terhadap himpunan itu.

Ini jelas menunjukkan satu perubahan besar dituntut rakyat dan antara perkara lain yang perlu dirisaukan adalah mengenai sokongan bukan Melayu kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Ini satu perkara yang wajar menjadi kebimbangan Umno dan juga BN, sebab ramai bukan Melayu yang hadir sokong Bersih 4.

“BN juga harus lebih bimbang, sebab himpunan kali ini, Bersih berjaya melakukannya dengan lebih sistematik dan berkesan, bermakna mereka boleh menganjurkan program sama menggunakan kaedah sama,” katanya lagi.

Keadaan itu, tambahnya, akan memberi kesan buat Umno dan BN, memandangkan Bersih sendiri dalam himpunannya kali ini, menuntut sebuah kerajaan lebih bersih, di samping mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berundur.

Malah, jelas Azizuddin lagi, kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali turut memberi impak kepada kepimpinan kerajaan BN sekarang.

“Tun Mahathir datang ke Bersih, jadi ini mampu memberikan satu sokongan simpati kepada Tun oleh penyokong Bersih. Sudah pasti ini bahaya buat Umno,” ujarnya.

Himpunan kali ini dilihat memberi satu dimensi baru kepada demonstrasi aman, apabila hampir semua peserta masih belum bersurai selepas lebih lima jam berhimpun.

Kebiasaannya, peserta demonstrasi akan bertahan tidak lebih lima jam dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa himpunan kali ini merupakan satu kejayaan buat Bersih.

Salah seorang peserta himpunan Bersih 4, Azizan Baharom, 58, berkata rakyat adalah yang paling berkuasa untuk menentukan kedudukan sesebuah kerajaan itu.

Justeru, salah satu usaha yang dapat diterjemahkan ialah kesanggupan peserta untuk tidur di jalanan, bagi menyuarakan sokongan mereka terhadap Bersih.

“Kami tiada cara untuk menyuarakan pendapat dan diterima, kami tiada akses kepada televisyen dan sebagainya, ini saja cara kami.

“Kalau kerajaan tak mahu dengar juga suara rakyat, suara keramat, kita masih ada pilihan raya umum, PRU14 mereka (BN) akan jatuh,” katanya ketika ditemui di kawasan himpunan peserta demonstrasi Bersih 4, dekat Dataran Merdeka.

Bagi Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Langat, Thilagavathy Salvanathan, Bersih 4 kali ini merupakan satu kejayaan besar buat rakyat, kerana mereka terus kekal bersama Bersih sehingga saat-saat akhir himpunan.

Menurutnya, ini adalah respons rakyat terhadap kerajaan yang dakwanya, bertindak zalim dan menindas rakyat.

“Bersih 3 berbanding Bersih 4, ramai lagi yang hadir, sebab kezaliman dan penindasan, ramai bangkit dan rela datang untuk tunjukkan kemarahan kepada kerajaan.

“Kali ini, saya rasa dua hari datang sanggup korban tinggalkan keluarga dan tidur di sini.

“Selagi kerajaan tak ubah, memang lagi banyak dapat sambutan, sebab rakyat kecewa dengan kerajaan kini,” katanya