KUALA LUMPUR, Jalan raya menghala ke Dataran Merdeka bertukar wajah malam tadi seperti pesta, gara-gara himpunan Bersih 4 yang diadakan selama dua hari dan peserta bermalam di kaki lima dan jalan raya.


Meskipun, sebahagian peserta pulang ke rumah masing-masing, masih ada peserta Bersih 4 yang membuat keputusan kekal di lokasi perhimpunan seperti yang dikehendaki penganjur agar peserta bermalam di Dataran Merdeka.

Tinjuan The Rakyat Post mendapati, bermacam ragam diperlihatkan peserta Bersih 4 malam tadi, terdapat peserta yang beralaskan kotak dan ‘sleeping bag’ serta menggunakan beg galas sebagai bantal, tidak kurang juga peserta yang mendirikan khemah dan paling menyedihkan tidur tanpa alas di atas jalan tar.

Jalan raya di pusat bandar Kuala Lumpur berubah wajah apabila peserta Bersih 4.0 tidur di atas jalan, malam tadi. Foto TRP/Fernando Fong
Jalan raya di pusat bandar Kuala Lumpur berubah wajah apabila peserta Bersih 4.0 tidur di atas jalan, malam tadi. Foto TRP/Fernando Fong

Seorang peserta, Joanne Lim dari Klang berkata peluang tidur di kawasan terbuka malam tadi adalah satu pengalaman yang tidak pernah beliau rasai.

“Saya tidak menjangka ramai orang tidur di jalanan, tetapi rakyat Malaysia memang luar biasa.

“Hati kami tersentuh kerana terdapat sukarelawan yang berkawal demi keselamatan kami sepanjang malam dan ada juga yang mengedarkan air serta makanan kepada orang ramai.

“Situasi yang ditunjukkan ini mengambarkan tanpa mengira warna kulit semua orang adalah sama, sambil dihiburkan kumpulan artis jalanan sepanjang malam, saling bantu-membantu dan ini menguatkan lagi keyakinan peserta untuk meneruskan himpunan untuk hari esok,” katanya kepada The Rakyat Post ketika ditemui.

Lim yang pernah menyertai himpunan Bersih 3.0 sebelum ini mengharapkan situasi ini akan terus kekal dan menarik lebih ramai penglibatan rakyat Malaysia pada hari kemuncak esok (Ahad).

Seorang peniaga dari Johor Bahru berkata, peserta Bersih 4 tidak tidur di kaki lima untuk suka-suka.

“Saya pasti peserta Bersih 4 yang merasai pengalaman ini dapat merasakan bahawa desakan tuntutan himpunan kali ini akan berhasil dan cabaran yang bakal dihadapi esok bukan mudah.

“Kami kepenatan tetapi kami mahu menghantar mesej yang jelas kepada kerajaan bahawa kami amat serius dengan tuntutan untuk perubahan,” katanya.

Ridzuan Hassan dari Alor Setar berkata, kerajaan tidak boleh lari dari rakyat.

“Rakyat sanggup tidur di jalanan, kerajaan harus berasa malu dengan kepincangan mengurus dan gagal menyelesaikan masalah yang mengugat negara pada hari ini,” katanya yang datang ke Kuala Lumpur menaiki bas ekspress kelmarin bersama teman-temannya semata-mata untuk menyertai Bersih 4..

Seorang lagi peserta, Tiao Choo Ng berkata walaupun peserta terpaksa tidur di jalanan, dengan meninggalkan keselesaan tilam empuk dan bantal di rumah, ini bukanlah alasan untuk melemahkan semangat mereka.

“Kami akan meneruskan sehingga tuntutan kami diberi perhatian, kesusahan yang dihadapi malam ini bukan alasan untuk kami pulang tidur di rumah,” kata Tiao Choo Ng.

Ng adalah salah seorang peserta Bersih 4 yang berarak ke Dataran Merdeka bersama 500 orang yang lain dari Brickfields.