KUALA LUMPUR - Himpunan Bersih 4.0 hari pertama berakhir jam 12.00 tengah malam dalam keadaan aman dan terkawal.
 
Perhimpunan yang disambung semula jam 9 malam setelah berhenti rehat jam 7.00 petang itu diisi dengan ucapan daripada pemimpin Bersih, persembahan lagu rakyat dan deklamasi puisi.
 
Lagu Negaraku turut dinyanyikan sebagai tanda berakhir hari pertama himpunan.
 
Antara pemimpin yang hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, Presiden Harapan Baru, Mohamad Sabu dan Naib Presiden  PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin.
 
Ribuan peserta bersih juga mengambil kesempatan untuk tidur beramai-ramai di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman.
 
Kelihatan peserta masih bersemangat membunyikan vuvuzela dan melaungkan ‘Bersih’ walaupun himpunan telah tamat.
 
Program pada hari kedua himpunan Bersih esok pula akan bermula dengan solat subuh berjemaah dan "Sunday Prayer" di pekarangan Dataran Merdeka.
 
Tinjauan Sinar Harian setakat jam 12.30 tengah malam ini mendapati, pihak berkuasa juga masih melakukan kawalan di Dataran Merdeka.