KUALA LUMPUR: Krisis serta konflik dalaman PAS yang berlarutan sejak
muktamar tahunan Jun lalu sehingga membawa kepada penubuhan Gerakan
Harapan Baru (GHB) bukanlah kemelut yang terburuk dalam sejarah parti
berteraskan Islam itu.
Malahan Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan menegaskan kemelut
dalaman yang berlaku kini bukan perkara baru dan malah senario yang
lebih buruk pernah terjadi sebelum ini.
"Memang parti ini ada sejarah panjang dalam menghadapi ujian-ujian dalaman seperti ini dan apa yang berlaku bukan perkara baru.
"Sebelum daripada ini pun kalau kita baca sejarah tahun 1980, bekas
Yang Dipertua PAS Pusat sendiri ataupun presiden kalau mengikut jawatan
sekarang Allahyarham ustaz (Datuk) Asri (Muda) pernah keluar parti dan
akhirnya mereka menubuhkan parti HAMIM (Hizbul Muslimin Malaysia),"
katanya dalam temubual ekslusif bersama Antarapos.
Beliau menambah krisis yang berlaku itu telah melahirkan beberapa parti
serpihan PAS termasuk Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) serta
Barisan Jemaah Islamiyah Malaysia (BERJASA) yang ditubuhkan bekas
Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Mohamed Nasir.
"Dan saya masih ingat dalam berita yang kita lihat dalam akhbar pada
era itu lebih 10,000 borang keahlian HAMIM diedarkan tapi alhamdulillah
parti masih dapat mampu menghadapinya.
"Krisis bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Mat Nasir yang akhirnya
menubuhkan BERJASA, kemudian di Kelantan pernah berlaku pertembungan
krisis yang dipimpin cikgu Musa pada waktu daripada Pasir Puteh yang
menubuhkan parti AKIM," katanya.
Pada 13 Julai lalu, beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan
progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti mengumumkan akan
menubuhkan GHB bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.
Dalam perkembangan terbaru, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
(ROS) menolak permohonan GHB untuk menggunakan nama Parti Progresif
Islam sebagai nama parti baru yang hendak ditubuhkan.
Sehubungan itu, ROS akan memberikan surat kepada pemimpin GHB agar
memilih nama lain tanpa menggunakan nama Islam dalam usaha mendapatkan
sokongan dan pengaruh.
Sebelum ini, Pengerusi GHB Mohamad Sabu dilaporkan berkata, Parti
Progresif Islam merupakan antara nama yang dicadangkan bagi mencerminkan
sebuah parti Islam yang mengamalkan integriti.
Pimpinan GHB kuat dalam PAS sebab dasar Islam bukan individu
Menurut Nasrudin, walaupun parti serpihan PAS termasuk GHB yang bakal
bergerak atas platform politik diwujudkan bekas pimpinan utama namun ia
tidak kekal lama dalam arena politik negara.
"Jadi maknanya pengalaman kita banyak dan pernah ahli Parlimen PAS
keluar daripada parti dan meletakkan jawatan beramai-ramai sehingga
akhirnya tinggal Allahyarham (Datuk) Nik Abdul Aziz (Nik Mat) sendirian
dalam Parlimen.
"Semua polemik ini pernah menjadi pengalaman kepada parti dan
alhamdulillah oleh kerana PAS ini dasarnya Islam dan trend bekerja serta
perjuangannya kerana Allah dan Islam bukan kerana individu atau
pemimpin," katanya.
Tegas beliau, GHB yang diterajui pimpinan progresif PAS yang tewas
dalam pemilihan parti tidak akan mampu bertahan tanpa sokongan daripada
ahli di peringkat akar umbi.
"Jadi walaupun ada pemimpin besar mana pun jawatan umpamanya (Datuk)
Ahmad Nakhaie yang pernah pegang jawatan Naib Yang Dipertua keluar parti
adalah sebahagian pengikut-pengikut tegar yang keluar mengikut mereka
tetapi secara keseluruhanya mereka akan terus komited dengan dasar
perjuangan.
"Begitu juga dengan apa yang ada hari ini, walaupun kalau kita lihat
watak-watak ataupun figure yang bersama dengan GHB adalah tokoh besar
tapi bukan bermakna ahli-ahli berjuang kerana mereka," katanya.
Dalam masa sama Ahli Parlimen Temerloh ini menegaskan krisis yang
berlaku itu tidak menjejaskan PAS sebaliknya memperkuatkan lagi parti
berteraskan Islam itu.
"Mereka menjadi tokoh besar dalam parti kerana dasar perjungan dan
kerana mereka terlibat dengan partilah mereka menjadi tokoh sebesar itu:
"Saya percaya kalau mereka meninggalkan parti keluar daripada PAS saya
tak nafi mungkin ada sebahagian yang akan ikut jejak mereka tetapi ia
tidak menjejaskan parti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan