Jumaat, 28 Ogos 2015

Program Bina Bangsa wajib untuk sekolah rendah mulai tahun depan, kata menteri



Menteri Pendidikan Datuk Mahdzir Khalid berkata Program Bina Bangsa bertujuan meningkatkan hubungan antara murid pelbagai kaum sejak kecil, kerana berdasarkan kajian pihaknya, rakyat Malaysia pelbagai kaum hanya bertemu selepas 17 tahun, iaitu sewaktu melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 28 Ogos, 2015.Menteri Pendidikan Datuk Mahdzir Khalid berkata Program Bina Bangsa bertujuan meningkatkan hubungan antara murid pelbagai kaum sejak kecil, kerana berdasarkan kajian pihaknya, rakyat Malaysia pelbagai kaum hanya bertemu selepas 17 tahun, iaitu sewaktu melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari. 
 
 
Kementerian Pendidikan kini sedang merangka modul bagi melaksanakan Program Bina Bangsa yang akan melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Bertujuan meningkatkan hubungan antara murid pelbagai kaum sejak kecil, ia akan merangkumi aktiviti seperti program kepimpinan, kebudayaan dan sukan yang diwajibkan ke atas murid sekolah rendah.
 
Menteri Pendidikan Datuk Mahdzir Khalid berkata, program tersebut dijangka dimulakan tahun 2016 dan memilih sekolah di sekitar Lembah Klang buat permulaan.

Beliau yang baru dilantik ke jawatan itu sebulan lalu mengakui, sukar untuk kementerian itu menarik minat golongan bukan Melayu supaya menghantar anak belajar di SK. 
 
 "Hakikat ini kerana wujudnya sekolah seperti SJKC, dan sebagainya. Kita membenarkan sistem pendidikan tiga aliran sejak merdeka lagi.
 
"Ini sudah tahun ke-58 kita capai kemerdekaan. Kalau kita bercakap pasal perpaduan, membina negara bangsa, kita kena fikir bagaimana anak berlainan bangsa ini bertemu.
 
"Maknanya, sekarang kita kena ada program bukan yang selektif, tetapi wajib disertai mereka," katanya ketika ditemubual secara eksklusif The Malaysian Insider.
 
Mahdzir berkata, kajian yang dibuat pihaknya sebelum ini mendapati rakyat Malaysia pelbagai kaum hanya bertemu selepas 17 tahun, iaitu sewaktu melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.
 
"Oleh itu, untuk sekolah rendah dalam masa 6 tahun, kita boleh ketemukan mereka dalam program kepimpinan, budaya, sukan dan sebagainya.
 
"Program kepimpinan santai misalnya, mengumpulkan murid Cina, Melayu dan India pergi tepi laut. Mereka belajar menghormati agama dan budaya masing-masing," katanya menerangkan modul yang sedang dirancang dalam kertas kerja yang sedang disediakan kementerian.
 
"Sekurang-kurangnya apabila Ustaz bawa anak murid solat, murid bukan Islam tahu mengenainya dan menghormatinya.
 
"Saya sedang membina modul membina negara bangsa, bukan bina orang Melayu sahaja, tetapi semua kaum," katanya.
 
Namun kata Mahdzir, modul tersebut mesti dipersetujui bersama pelbagai pihak terutama pentadbiran sekolah dan ibu bapa.
 
Fokus modul itu katanya, akan dimulakan di sekolah rendah sekitar Semenanjung dan kemudiannya akan dikembangkan ke Sabah dan Sarawak.
 
"Di Sabah dan Sarawak sebenarnya saya tidak bimbang, kerana mereka memang sudah satu Malaysia.
 
"Dalam satu sekolah di sana, kita boleh lihat pelbagai kaum dan agama duduk di bawah satu bumbung," katanya.


Tiada ulasan: