Jika 1MDB gagal membayar hutang RM3.6 bilion
kepada enam bank antarabangsa itu secara undang-undangnya 1MDB telah
gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi kesemua RM42 bilion hutangnya dan
berdepan 'cross default'.
PETALING JAYA: Jangkaan hutang-hutang yang ditanggung 1MDB akan membawa risiko besar kepada kestabilan kewangan negara mungkin jadi kenyataan, kata Rafizi Ramli.
Ini kerana, kata Naib Presiden PKR itu, 1MDB berisiko berdepan ‘cross default’ kerana tidak mampu membayar hutang RM3.6 bilion kepada enam bank antarabangsa diketuai oleh Deutsche Bank.
“Cross default” bermakna jika 1MDB gagal membayar faedah atau bayaran pokok di dalam satu pinjaman/hutang, ia juga dikira telah gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi semua hutang-hutangnya yang lain.
Ini bermakna, jika tuntutan bayaran hutang RM3.6 bilion oleh enam bank antarabangsa itu gagal dipenuhi dalam masa terdekat, 1MDB secara undang-undangnya telah gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi kesemua RM42 bilion hutangnya.
“Hutang-hutang RM42 bilion ini turut melibatkan sukuk dan bon yang dibeli oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di samping pinjaman yang diberikan oleh bank-bank tempatan. Jumlah bonnya juga besar dan akan mempunyai kesan besar kepada pasaran bon negara.
“Oleh itu, ramalan awal saya bahawa satu hari nanti hutang-hutang 1MDB ini membawa risiko besar kepada kestabilan kewangan negara (“systemic risk to the financial system”) kini mungkin menjadi kenyataan.
“Ini menafikan jaminan yang dibuat oleh pimpinan Barisan Nasional termasuklah Khairy Jamaluddin yang kononnya 1MDB bukanlah satu risiko kepada kestabilan kewangan negara,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak wajib memberikan kenyataan segera bagaimana 1MDB bercadang membayar hutang RM3.6 bilion yang boleh dituntut bila-bila masa ini.
Katanya, kegagalan 1MDB memenuhi tuntutan hutang RM42 bilion ini adalah risiko besar kepada negara jika “cross default” terjadi akibat dari tuntutan hutang RM3.6 bilion oleh bank-bank antarabangsa itu.
Rafizi berkata, risiko ‘cross default’ itu mungkin terjadi susulan akhbar perniagaan Singapura Bussines Times yang melaporkan enam bank antarabangsa itu akan menggunakan haknya meminta 1MDB membayar hutang RM3.6 bilion lebih awal tempoh matang iaitu sebelum September 2015.
Katanya, 1MDB membuat hutang RM3.6 bilion itu dengan memberi cagaran simpanan dana USD1.1 bilion yang kononnya disimpan di Bank BSI di Singapura.
Katanya, laporan terkini menyebut bahawa dana USD1.1 bilion ini mungkin tidak wujud, ia telah mewujudkan keadaan panik kepada enam bank antarabangsa tersebut yang bimbang 1MDB tidak boleh membayar hutang RM3.6 bilion.
1 ulasan:
lantak lah asalKAN. aku dapat BRIM
Catat Ulasan