Khamis, 14 Mei 2015

'Pointer’ Geng Eva rupanya warga Indonesia

'Pointer’ Geng Eva rupanya warga Indonesia Gambar wajah suspek yang diedarkan polis sebelum ini.
 
 
KOTA BHARU - Seorang penunjuk arah Geng Eva yang aktif melakukan jenayah samun menggunakan kereta mewah yang disangkakan berbangsa Melayu, rupa-rupanya seorang lelaki warga Indonesia.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, lelaki berkenaan bersama empat rakan jenayah lain ditahan polis dalam serbuan di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Katanya, kesemua suspek ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Serdang, Selangor dengan tiga daripadanya ditahan pada 7 Mei lalu, manakala dua lagi pada keesokkannya.

“Hasil tangakapan mendapati lelaki yang bertindak sebagai ‘pointer’ atau  penunjuk arah dengan menjadikan rumah peniaga kaya sebagai sasaran rompakan tersebut bukan orang tempatan, sebaliknya berasal dari Indonesia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek yang berusia antara 27 dan 55 tahun itu dikenakan perintah reman selama seminggu bagi membantu siastan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Polis Kelantan mengenal pasti empat suspek ahli Geng Eva licik merompak dengan menggunakan pelbagai kenderaan mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sejak pertengahan tahun lalu.

Polis memburu suspek yang berasal dari Selangor, Melaka, dan Pulau Pinang itu kerana dipercayai terbabit dengan sembilan kes jenayah samun di negeri ini dengan membabitkan kerugian lebih RM200,000.

Tiada ulasan: