Khamis, 14 Mei 2015

Najib boleh usul undi percaya di Parlimen


 
 
 
SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mengusulkan undi percaya dalam sidang Parlimen bagi tujuan mengukuhkan kepercayaan semua ahli parlimen terhadap beliau.
 
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, undi percaya tersebut boleh dicadangkan mengikut proses membentangkan usul.
 
“Usul undi percaya adalah sesuatu yang unik dalam sistem Parlimen. Hal ini kerana Perlembagaan ada sebut tentang undi tak percaya tapi tak sebut tentang undi percaya. 

 
“Namun usul undi percaya tidak bertentangan dengan Perlembagaan. Semua bentuk cadangan perlu mengikut proses membentangkan usul, jadi jika usul undi percaya hendak dibawa ia hendaklah mengikut prosedur Parlimen,” katanya, semalam. 
 
Kelmarin, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mencadangkan agar Najib mendapatkan undipercaya terhadap kepimpinannya apabila Dewan Rakyat memulakan persidangan, 18 Mei ini.
 
Menurut Kit Siang yang juga Penasihat DAP, usul tersebut bagi membolehkan Najib mengukur sokongan terhadapnya susulan isu kontroversi melibatkan 1Malaysia Development Berhad.
 
Beliau berkata, usul undi percaya pernah dilakukan oleh perdana menteri ketiga, Tun Hussein Onn ketika mula-mula dilantik bagi jawatan tersebut.
 
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, usul tersebut juga perlu dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri pada sidang Parlimen.
 
“Undi percaya tidak akan dilakukan secara rahsia. Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada semua bahawa Perdana Menteri masih ada sokongan majoriti,” katanya.
 
Ketika ditanya mengenai usul undi tidak percaya pula, beliau berkata, ia boleh diusulkan oleh ketua pembangkang jika pembangkang merasa tidak yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri.
 
“Undi tidak percaya pernah berlaku misalnya dalam sidang Dun di Sarawak pada era 1960-an. Tetapiundi tak percaya tidak boleh dilakukan jika perdana menteri sudah membuat usul percaya dan mendapat majoriti.
 
“Namun, undi percaya boleh menjadi undi tidak percaya jika perdana menteri gagal mendapat majoriti,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: