Selasa, 5 Mei 2015

MCA dakwa dikasari ketika berkempen

MALAYSIAKINI


 


MCA mendakwa anggota mereka diserang dan dicederakan ketika program kempen anjuran parti itu di Seberang jaya malam tadi.

Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Gui Guat Lye mendakwa, dia dicederakan lima lelaki selepas ceramah di Taman Kelisa Emas kira-kira jam 9 malam tadi.

Menurut Gui, laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar Perda kira-kira dua jam kemudian.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia mengiringi seorang pemimpin MCA, Dr Leong Yong Kong yang ketika itu baru habis memberikan ucapan dan ingin bersalaman dengan hadirin.

"Kemudian Leong didatangi sekumpulan lelaki berusia antara 40-an hingga 50-an tahun dan memintanya menjelaskan mengapa hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

"Walaupun diganggu, Leong masih bertanya kepada mereka secara baik mengapa dia disoal menggunakan ayat kasar. Kemudian saya menghampiri mereka dan memberitahu dia bahawa jangan guna ayat yang tidak elok," katanya di sidang media hari ini.

Cuba dipukul dengan kayu

Selepas itu, kata Gui, kumpulan lelaki terbabit bertindak agresif dengan menarik kolar baju sebelum menolaknya.

Malah, katanya, salah seorang daripada mereka mengambil kayu dan cuba memukul.

Apabila gagal penyerang mengambil kerusi plastik dan sekali lagi cuba mencederakannya.

Pada sidang media sama, Ketua Pemuda MCA Pulau Pinang Micheal Lee berkata kekasaran turut berlaku di pasar pagi di Seberang Jaya.

Katanya, bersama sekumpulan ahli MCA bertembung dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dia kemudian mengajukan soalan mengenai kereta yang diparkir secara salah oleh Guan Eng namun tidak diendahkan ketua menteri terbabit.

"Sebaliknya ada seseorang yang mengiringi Lim menegur saya denganperkataan kasar, kurang ajar serta mencekik saya," katanya.

Lelaki itu kemudian didakwa Lee ialah ahli dewan undangan negeri Seberang Jaya, Afifi Bahardin.

Pada sidang media berasingan pula, Ketua Pemuda Sosialis DAP Ng Wei Aik berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kejadian tersebut.

Tiada ulasan: