MALAYSIAKINI
Pada 16 Mei 2015 yang lepas, saya telah menghadiri satu program 'Global
Convention Of Scholars For Palestine' yang berlangsung di Beirut selama
seminggu.
Saya diundang kerana saya merupakan salah seorang daripada kepimpinan
Persatuan Ulama Sedunia cawangan Malaysia yang telah menganjurkan satu
konferen antarabangsa pada bulan Mei tahun lalu, bersempena Nakbah
Palestin yang bertempat di Shah Alam.
Selain saya, ada 2 lagi wakil yang dijemput untuk mewakili Malaysia
iaitu, Al Fadhil Ustaz Ghani Sahamsuddin dan Cikgu Azmi Hamid.
Bagaimanapun kedua-dua mereka tidak dapat hadir bersama ke program kali
ini.
Dengar bicara mufti Palestin
Multaqa kali ini disertai 35 buah Negara termasuklah wakil Amerika
Latin, Eropah, Turki, United Kingdom dan Afrika. Manakala Ismail Haniyeh
yang sepatutnya mewakili Palestin tidak dapat hadir dan hanya
menyampaikan ucapan secara langsung melalui pancaran satelit.
Oleh itu secara rasminya, lebih kurang 80 orang tokoh-tokoh ulamak telah
menghadiri Multaqa ini disamping ramai lagi yang hadir secara tidak
rasmi.
Objektif utama Multaqa ini ialah bagi membincangkan langkah terbaik dan
praktikal untuk membangkitkan kesedaran seluruh dunia Islam mengenai isu
Palestin.
Berbeza dengan mana-mana program yang pernah saya hadiri sebelum ini
yang biasanya sarat dengan pembentangan kertas kerja panjang lebar,
Multaqa ini dipadatkan dengan perbincangan dalam kumpulan yang
dijalankan dalam bentuk bengkel.
Malam pembukaan Multaqa dimulakan dengan ucapan mufti besar Palestin yang menyentuh tentang peristiwa Israk Mikraj.
Kami beruntung dapat mendengar secara langsung bicara ulamak agung ini
yang menceritakan signifikan peristiwa agung Israk Mikraj sebagai bukti
sejarah yang menghubungkan Masjidil Haram Mekah dengan Masjidil Aqsa
Palestin.
Pada keesokannya program dimulakan dengan ucapan pengenalan daripada
tujuh pertubuhan yang diberi perhormatan untuk menyampaikan ucaptama.
Antaranya ialah Persatuan Ulamak Sedunia Cawangan Malaysia sendiri,
Persatuan Ulamak Sedunia Untuk Pembebesan Palestin Beirut dan Jemaah
Ulamak Pakistan.
Langkah praktikal
Setelah itu, semua peserta Multaqa dibahagikan kedalam kumpulan bengkel
mengikut pilihan masing-masing. Saya telah memilih kumpulan yang
diamanahkan untuk membahaskan langkah-langkah praktikal bagi memupuk
kesedaran sejagat mengenai isu Palestin.
Bengkel ini telah berlangsung dari pagi sehingga petang dengan hanya berselang waktu rehat untuk solat dan makan.
Semasa slot perbincangan umum pula, saya berpeluang mengemukakan 20 usul
yang merupakan resolusi yang dicapai dalam konvensyen di Shah Alam
tahun lalu.
Saya membangkitkan semula sikap khianat pihak British yang menyerahkan
Palestin kepada negara haram Israel sedangkan pada waktu itu British
hanya memegang mandat untuk melindungi tanah Palestin, bukan empunya
milik Palestin!
Multaqa juga mencapai resolusi - yang pada pandangan saya - sangat
praktikal untuk dimajukan kepada badan-badan Islam di Malaysia seperti
MAPIM dan pertubuhan Islam lain seperti PUM dan ABIM.
Resolusi tersebut ialah, 'Multaqa mencadangkan supaya anak-anak atau
pemuda-pemuda Palestin dibawa ke Malaysia untuk diberi peluang belajar
sama ada di Sekolah Rendah, Sekolah Menengah mahupun Universiti'.
Dalam masa yang sama, anak-anak ini akan menjadi duta rakyat Palestin di
Malaysia yang akan menjadi jambatan penghubung segala perihal
perkembangan perjuangan rakyat Palestin dan kekejaman yang berlaku ke
atas mereka.
Saya amat tersentak apabila rakan daripada Pertubuhan Nahdatul Ulamak
Indonesia terus menyambut resolusi ini dan mencadangkan supaya ia
dimulakan seawal tahun ini. Saya tertanya-tanya apakah yang mendorong
Nahdatul Ulamak begitu yakin untuk menyambut resolusi ini.
Namun persoalan itu terjawab setelah saya dimaklumkan bahawa Nahdatul
Ulamak memiliki 250,000 Maahad (Sekolah) yang dilengkapi asrama di
samping mempunyai kekuatan 60 juta ahli berdaftar.
Apabila dipandang kepada Malaysia, saya cuma mangatakan kepada mereka
bawah Pertubuhan yang saya wakili ini hanyalah pertubuhan kecil yang
hanya mampu untuk menampung seorang anak Palestin.
Tetapi di sebalik jawapan itu, saya juga berfikir jika resolusi ini
dipanjangkan kepada pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia, sudah pasti
lebih banyak perkara yang boleh diusahakan.
Di Malaysia kita memiliki MAPIM yang menjadi sentral kepada
sekurang-kurangnya 70 pertubuhan Islam. Jika setiap NGO bersedia untuk
menanggung seorang, kita sudah mampu untuk memberi sinar baru kepada 70
anak-anak Palestin!
Dalam sesi perbincangan sampingan pula, saya sempat berbincang dengan
rakan ulamak dari Indonesia berhubung usahasama strategik berkaitan isu
Palestin ini.
Saya juga mencadangkan supaya Indonesia menubuhkan Persatuan Ulama
Sedunia cawangan Indonesia yang disambut baik malah sangat dialu-alukan
oleh mereka.
Secara kebetulan, Persatuan Ulama Sedunia Cawangan Malaysia sememangnya
sudah merancang untuk membuat lawatan ke Indonesia yang dijadualkan
selepas Ramadhan tahun ini.
Lawatan ini sudah pasti akan dimanfaatkan untuk memanjangkan lagi perbincangan yang dimulakan semasa Multaqa.
Antara resolusi lain yang bercaya dicapai dalam Multaqa ini ialah,
'menjadikan masjid sebagai pusat penyebaran atau hebahan mengenai
isu-isu Palestin'.
Resolusi ini boleh dilaksanakan dengan memastikan isu Palestin tidak
lagi menjadi bahan ceramah bermusim, tetapi disusun secara bersiri
sebagai langkah penerangan jangka panjang.
Resolusi ini bertepatan dengan deklarasi yang diputuskan dalam
konvensyen di Shah Alam tahun lalu iaitu semua masjid perlu menyediakan
satu sudut penerangan Palestin atau disebutkan juga sebagai ‘Palestine
Corner’.
Di sudut itulah pameran segala bahan-bahan berkaitan perjuangan
pembebasan Palestin untuk tatapan semua masyarakat yang hadir ke masjid
dapat diperlihatkan. Cadangan ini sangat relevan dan bersesuaian dengan
konsep 'mewajahkan Palestin sebagai hak seluruh umat Islam'. Palestin
tidak wajar hanya sekadar dimiliki masyarakat arab.
Pengajur tak sangka saya boleh cakap Arab
Antara pengalaman yang paling saya syukuri ialah apabila dapat bertemu
Mufti Besar Palestin dan menerima hadiah langsung daripada beliau berupa
buku karangan beliau sendiri yang berjudul ‘Ar Rasul’.
Beliau memaklumkan yang beliau juga pernah hadir ke Malaysia lebih
kurang 10 tahun yang lampau. Rata-rata rakan yang saya temui dalam
Multaqa ini memberikan respon amat baik terhadap intipati ucapan yang
saya sampaikan semasa hari pertama program.
Mereka memaklumkan bahawa mereka tertarik apabila saya secara langsung
menyentuh mengenai konsep 'hak Palestin sebagai Hak Umat Islam' seperti
yang diwahyukan dalam Al-Quran melalui Surah Ali Imran.
Ada juga yang melucukan apabila pihak penganjur sendiri tidak menyangka
yang saya boleh berbahasa Arab sehingga mereka menyediakan penterjemah
untuk saya! Hal ini kerana semasa berhubung untuk urusan jemputan, kami
hanya berkomunikasi dalam medium bahasa Inggeris.
Bersatu dalam kepelbagaian
Saya juga bersyukur kerana menerusi Multaqa ini, saya telah
berkesempatan untuk melihat serta merasai kesatuan jiwa dan fikrah atas
paksi perjuangan mengembalikan tanah suci Baitul Maqdis kepada umat
Islam.
Walaupun yang menghadiri Multaqa ini adalah para ulama dari pelbagai
aliran mazhab seperti Sunni, Sufi, Salafi, ‘Ibadi, Syiah dan banyak
lagi, namun perbezaan ini tidak langsung menimbulkan rasa kekok untuk
para peserta bergaul dengan kasih sayang demi Palestin.
Saya merasa insaf apabila melihat bagaimana profesionalnya para ulama
dari Tunisia, Maghribi, Sudan dan beberapa negara Afrika yang sedang
mengalami pergelokan di tanah air masing-masing, namun masih dapat hadir
berhimpun dan bersatu dengan mengenepikan perbezaan yang wujud.
Perkara ini mengingatkan saya tentang perkembangan gerakan Islam di
Malaysia. Dalam konteks Malaysia, kita sudah ada majlis perundingan
badan-badan NGO Islam yang besar dan kukuh serta diiktiraf.
Ini merupakan satu ruang yang perlu dimanfaatkan oleh semua pertubuhan
Islam di Malaysia untuk duduk semeja, mengenepikan perbezaan dan
berbincang mengenai perkara-perkara berkait kepentingan umat Islam
amnya.
Dalam hal ini, saya sebagai aktivis PAS melihat terlalu banyak peranan
yang boleh dimainkan oleh parti Islam di Malaysia ini sekiranya jaringan
yang strategik dapat dibina bersama pertubuhan-pertubuhan NGO Islam
yang ada.
Walaupun PAS sebuah parti politik, PAS seharusnya boleh mencari ruang
untuk berganding bahu bersama badan-badan NGO ini untuk membolehkan hal
ehwal umat Islam ditangani secara bersepadu.
Syor tubuh Unit Palestin
Dalam soal perjuangan pembebasan Palestin ini, PAS merupakan antara organisasi yang mempunyai hubungan baik dengan Hamas.
Saya masih ingat suatu ketika dahulu setelah Hamas memenangi pilihan
raya Palestin menewaskan Fatah, tidak lama selepas itu berlangsung
persidangan OIC di Malaysia.
Malangnya, penyertaan wakil Hamas telah ditolak, sebaliknya wakil Fatah
pula diterima ke persidangan OIC tersebut sedangkan mereka sudah tidak
lagi memiliki mandat pemerintahan.
Jika kita masih ingat, Hamas telah memanjangkan hal ini kepada PAS yang
secara langsung telah membuktikan betapa mereka menghormati dan
mengiktiraf PAS sebagai pendokong kuat perjuangan umat Palestin.
Oleh itu, PAS seharusnya menjadi agen utama dalam mengangkat agenda
perjuangan Palestin di negara ini. Kita seharusnya mempunyai program
khusus berkaitan isu Palestin.
Jika boleh, saya suka untuk mencadangkan agar ditubuhkan satu unit di
bawah bidang kuasa presiden atau timbalan presiden yang bertanggungjawab
menggerakkan kempen pembelaan Palestin secara konsisten.
Unit ini bukan sekadar bertindak memacu kempen kesedaran mengenai
keadaan di Palestin sahaja, tetapi turut mengambil tanggungjawab
membantu pelarian Palestin yang berhadapan dengan perlbagai rencam
permasalahan.
Secara umumnya, saya melihat PAS perlu memimpin dan memperkasa gerakan
Islam tanah air. Bukanlah sikap PAS untuk mengambil isu-isu umat Islam
secara bermusim dan sambil lewa.
Jika perspektif kita hanya bersifat ‘one-off’ iaitu bantuan tatkala
musibah semata-mata, sudah pasti menerusi Umno - yang merupakan parti
pemerintah di negara ini - yang miliki seribu satu kekuatan material
sudah mampu melaksanakannya. Justeru, apa perlunya PAS sebagai gerakan
Islam tanah air?
PAS perlu menjadi peneraju yang memikul isu-isu umat Islam secara
konsisten, khususnya isu Palestin dan isu-isu lain membabitkan umat
Islam yang tertindas seperti pembantaian umat Islam Rohingya mutakhir
ini.
Walaupun kita belum memerintah, tetapi kita perlu sentiasa kehadapan untuk membela masyarakat yang tertindas.
Jika sebelum memerintah Malaysia pun PAS mampu memimpin perjuangan
membela golongan tertindas, sudah pasti apabila memerintah nanti
(insyaAllah) lebih banyak agenda kebajikan PAS akan dapat
direalisasikan.
Pupuk adab berbeza pendapat
Apabila menyebut mengenai peluang untuk memerintah, saya melihat Umno/BN
pada ketika ini sedang berada pada kedudukan sangat lemah apabila
Perdana Menteri merangkap Presiden Umno - Datuk Seri Najib Tun Razak
sedang berhadapan dengan konflik dari dalam partinya sendiri.
Inilah peluang untuk kita buktikan kepada rakyat bahawa kini masanya
untuk kita menolak Umno/BN setelah lebih 50 tahun mereka gagal
memanfaatkan nikmat hasil kekayaan yang Allah kurniakan di bumi bertuah
Malaysia ini dengan penuh amanah dan bijaksana.
Dalam keadaan ini, rakyat sudah pasti meletakkan harapan kepada PAS dan
pastinya Pakatan Rakyat untuk merealisasikan perubahan. Pakatan Rakyat
pula perlu terus mempercayai PAS memandangkan PAS sudah diterima oleh
segenap masyarakat termasuk daripada rakan-rakan bukan Islam.
Dalam masa yang sama, rakan-rakan dari parti komponen Pakatan Rakyat
perlu faham bahawa PAS mempunyai dasar perjuangan yang berlandaskan Al
Quran dan Sunnah sepertimana termaktub dalam perlembagaan PAS itu
sendiri.
PAS sudah membuktikan dengan kuasa yang diperolehi di Kelantan, tidak
ada masyarakat bukan Islam yang tertindas. Malah Almarhum Tuan Guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat sendiri pernah menunjukkan satu contoh yang luar
biasa apabila beliau menyantuni dan melawat sendiri ke Wat Sami Buddha
terbesar di Asia yang terbina di Tumpat Kelantan.
Ini menunjukkan betapa sistem pentadbiran Islam sangat terbuka dan
menghormati hak masyarakat untuk mengamalkan agama dan kepercayaan
masing-masing.
Inilah corak pentadbiran Islam yang mengamalkan wasatiyah
(kesederhanaan). Tanpa wasatiyah, gerakan Islam akan terjurus kepada
radikalisme seperti IS yang pada pandangan saya sudah bertindak diluar
batasan Islam.
Kita juga tidak mahu wasatiyah seperti tafsiran Umno yang hakikatnya
bertindak mengikut jalur ekstrim perkauman. Bahkan kerakusan Umno/BN
yang melahap hasil kekayaan negara sehingga rakyat menjadi mangsa, juga
tidak perlu lagi saya ungkapkan.
Akhir sekali, mengambil semangat dan pengajaran yang saya perolehi
daripada Multaqa di Beirut, saya melihat PAS perlu segera melakukan
anjakan dalam usaha memupuk kembali silaturrahim dan menyemai semula
adab dalam berkhilaf.
Jika kita terus hidup dalam perbezaan yang membawa perbalahan, maka
langkah PAS untuk menjadi gerakan Islam yang mampu menaungi perjuangan
umat Islam di peringkat global adalah masih jauh. Seharusnya semua
perbezaan ini diselaraskan segera dengan menghalatujukan matlamat yang
satu.
Apabilah kita mempunyai ‘Ghayah’ atau halatuju yang jelas, sudah pasti
kita akan faham untuk sekurang-kurangnya mengkoordinasi perbezaan
seterusnya membina persefahaman yang kukuh dan kuat.
Persefahaman atau Wahdah inilah yang akan memastikan PAS terus relevan
bagi mempersadakan perjuangan Islam di Malaysia mahupun di peringkat
antarabangsa.
AHMAD AWANG calon presiden PAS dan bekas anggota Majlis Syura PAS.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan