LEPAS satu isu, muncul lagi isu yang lain. Deretan isu yang mendedahkan kepincangan pentadbiran kerajaan BN pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak benar-benar merimaskan rakyat. Isu yang berkaitan dengan dakwaan penyelewengan 1MDB yang melibatkan “kehilangan” RM42 bilion, sekalipun besar jumlahnya namun tidak menyebabkan semua rakyat jadi marah.
Di samping ramai yang tidak berminat dengan angka yang besarbesar, sebahagian rakyat tidak merasai bahawa duit itu keluar dari poket mereka.
Berbeza dengan isu terbaru melibatkan Tabung Haji. Tabung yang diamanahkan untuk menjaga wang umat Islam yang menyimpan untuk tujuan menunaikan rukun Islam kelima tiba-tiba dirobekkan untuk agenda menyelamatkan 1MDB yang dirundung pelbagai masalah. Tabung Haji dilaporkan membeli tanah seluas satu setengah ekar dari 1MDB dengan nilai RM188.5 juta. Tanah tersebut yang keseluruhannya seluas 70 ekar dibeli dari Tun Razak Exchange (TRX) dengan harga RM194.1 juta, bermakna untuk satu setengah ekar harganya cuma sekitar RM4.0 juta.
Untung besarlah 1MDB, modal cuma RM4 juta tetapi jual pada 1MDB RM188.5 juta – dapat bersih RM184.5 juta? Mengapa Tabung Haji sanggup beli dengan harga tersebut? Kata pepatah Inggeris, orang bijak berfikiran sama. Maka sebahagian besar rakyat Malaysia yang bijak-bijak bersetuju bahawa urusan jual beli antara 1MDB dengan Tabung Haji hanyalah seb-agai prosedur untuk menghalalkan pengalihan duit dari Tabung Haji kepada 1MDB yang sudah nazak.
Ramai melihat Tabung Haji dipaksa untuk menyelamat (bailout) 1MDB yang sedang bermasalah. 1MDB dan Tabung Haji, kedua-duanya di bawah naungan perdana menteri.
Perkara besar yang menyentuh sensitiviti umat Islam ialah wang yang disalahgunakan itu adalah caruman dari bakal haji. Tabung Haji ditubuhkan pada 1969 antaranya bertujuan, membolehkan umat Islam menyimpan secara beransuransur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji atau lainlain perbelanjaan bermanfaat.
Zaman dahulu tidak ramai umat Islam di negara ini yang berada. Harta bernilai yang ada cuma tanah.
Mereka menjual tanah untuk ke Makkah. Banyak tanah orang Melayu berpindah milik kepada bukan Islam melaluinya. Menunaikan haji adalah kewajipan tetapi jika kerananya umat Islam hilang hak, maka hal ini perlu dibetulkan.
Profesor Diraja Ungku Aziz antara pemikir yang mengambil inisiatif membetulkan keadaan.
Beliau membuat kertas kerja bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji pada tahun 1959 yang membawa kepada Perbadanan Wang Simpanan Bakal- Bakal Haji ditubuhkan pada bulan November tahun 1962, dan mula beroperasi pada 30 September tahun 1963.
Hasil kesedaran yang ditanam, ramai yang menabung sejak usia muda di Tabung Haji. Kadangkala mengambil masa puluhan tahun baru cukup untuk ke tanah suci. Mereka bekerja keras membanting tulang untuk menabung sedikit demi sedikit. Malangnya pihak yang menjaga tabung tidak amanah.
Harapkan pegar, pegar makan padi. Hikmah berlakunya kegawatan di Tabung Haji ini ialah orang Melayu, khususnya masyarakat bahawan mula pandai marah terhadap kerajaan.
Duit yang berkaitan dengan amal ibadat memang akan mencetuskan rasa sensitif yang tinggi dalam kalangan umat Islam jika disalahgunakan. Banyak terdapat kisah pencuri tabung masjid yang dibelasah oleh orang ramai. Tukang belasah kadang kala jarang pijak masjid pun untuk berjemaah tetapi marah bila duit masjid dicuri.
Isu Tabung Haji akan terus dimainkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melakukan serangan bersiri terhadap Najib yang bertanggungjawab menaungi Tabung Haji dan 1MDB. “Inikah cara Tabung Haji mengguna duit orang ramai yang diamanahkan kepadanya. Pencarum berharap duit yang disimpan dengan Tabung Haji diurus untuk kebaikan mereka tetapi wang ini diguna untuk menyelamatkan 1MDB yang telah hilangkan berbilion ringgit,” ujar Tun yang sebelum ini keras mendesak najib melepaskan jawatan.
Isu Tabung Haji membangkitkan kemarahan sebahagian besar umat Islam di Malaysia. Mujur ia muncul selepas Pilihan Raya Kecil Rompin yang BN hilang separuh majoriti berbanding Pilihan Raya Umum ke-13. Jika tidak, kesan ditanggung BN lagi teruk.
Isu ini juga mampu menurunkan Najib dari persada kuasa. Maka ramailah yang mula berpaling tadah dari beliau dan mula berpayung pada pemimpin alternatif dari Umno. Najib menyedari hal tersebut, namun sebagai pejuang politik tidak mungkin beliau menyerah dengan mudah.
Setelah hilang sokongan di Semenanjung, Najib bergegas ke Sabah mengumpul kekuatan. Di Sabah buat pertama kali juga, Najib membalas serangan Tun secara terbuka. “Takkan suara seorang (Tun) boleh mengatasi suara rakyat yang memberi mandat kepada kita. Saya nak kata kepada semua bahawa saya takkan tunduk kepada mana-mana tekanan… saya cuma tunduk kepada ahli parti dan rakyat,” tegas Najib bagi menjawab desakan Tun supaya melepaskan jawatan.
Dalam Umno ramai pemimpin di atas berharap Najib berundur kerana masing-masing punyai peluang untuk “kenaikan pangkat.”
Tidak kurang yang mengidamkan jawatan perdana menteri.
Pemimpin biasa Umno pula mencongak siapa bakal perdana menteri untuk mula didampingi. Begitulah sifatnya parti yang dihuni para oportunis.
Mengikut kitaran masa, perang besar akan berlaku dalam Umno dan parti tua itu bakal hancur dalam masa terdekat. Sejauh mana Pakatan Rakyat mahu mengambil peluang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan