OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA
Di sebalik sumpah mereka untuk berkhidmat buat
pengundi, ahli Parlimen dilihat lebih mengutamakan ketua dan pemimpin
politik mereka berbanding perkhidmatan kepada rakyat, kata peguam, dan
memberi amaran rakyat dan negara akan menerima kesannya sekiranya
pemimpin gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.
Mereka berkata anggota Dewan Rakyat, terutamanya daripada parti Barisan
Nasional (BN) tidak melaksanakan sumpah mereka dalam melaksanakan
tugasan, termasuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Peguam kanan Datuk Dominic Puthucheary berkata, Dewan Rakyat gagal
memainkan tugasnya kerana parti politik menguasai Dewan dan menukarnya
kepada "Dewan Parti".
"Wakil rakyat di Dewan Rakyat dipilih pengundi, tetapi mereka
memberikan kesetiaan kepada pemimpin politik dan menjadi Dewan Parti,"
katanya yang kini berusia 82 tahun, dan pernah dipilih sebagai ahli
Parlimen Nibong Tebal selama sepenggal pada 1995.
Beliau berkata, mereka yang dipilih tidak memahami tugas sebenar atau
ambil kisah untuk mengetahui apa yang seharusnya mereka lakukan
berlandaskan Perlembagaan.
"Bagi kebanyakan mereka, ia adalah karier dan bukannya melaksanakan
tugas sebagai wakil rakyat," katanya, sebagai respon terhadap ucapan
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya mengutamakan
negara dan rakyat berbanding pihak lain.
Kesemua 222 ahli Parlimen akan bersidang hari ini selama sebulan bagi membincangkan hal ehwal negara.
Ketika persidangan pada Mac, sewaktu membahaskan titah ucapan Yang
di-Pertuan Agong, Tengku Razaleigh, atau lebih mesra dengan panggilan Ku
Li berkata, Malaysia kini dibelenggu dengan kebuntuan politik dan
ekonomi, dan hanya anggota Dewan Rakyat yang mampu meleraikannya.
Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap syarikat 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) yang kini dibebani hutang dan pelaksanaan sistem
percukaian cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
"Kita kini berhadapan cabaran yang tidak dijangka bagi memenuhi ikrar berkhidmat untuk rakyat dan negara.
"Ini kerana, kuasa Dewan Rakyat dipindahkan kepada kepimpinan parti politik," katanya, yang menjadi ahli Parlimen sejak 1974.
"Pemusatan kuasa terhadap mana-mana individu adalah bertentangan
Perlembagaan. Itu bukan apa yang sepatutnya mengenai demokrasi.
"Oleh itu, anggota Dewan Rakyat perlu memutuskan sama ada mahu memenuhi
ikrar mereka atau tanggungjawab kepada kuasa di luar Dewan Rakyat,"
katanya.
Dominic berkata, tidak diragukan Razaleigh bercakap mengenai apa yang
difikirkannya namun mengakui terdapat keperluan bagi merombak
keseluruhan sistem kerajaan.
Beliau juga menjelaskan sikap wakil rakyat Sabah dan Sarawak yang lebih
mementingkan isu di kawasan mereka berbanding isu nasional.
"Mereka tidak melihat kepentingan mempunyai perdana menteri yang kompeten untuk negara," katanya.
Peguam, R. Kenghadharan berkata, mana-mana anggota Parlimen yang gagal
melaksanakan tugas mereka perlu mengosongkan pejabatnya kerana mereka
menjadi liabiliti kepada proses demokrasi.
"Anggota Parlimen yang tidak kompeten akan memberikan kemusnahan serius
kepada proses demokrasi dan tadbir urus kerajaan, kita memiliki ramai
dalam kalangan mereka," katanya.
Dewan Rakyat katanya mewakili suara rakyat, namun malangnya, terdapat
usaha mencalarkan imej mereka dengan kepimpinan yang lemah dan
menyalahgunakan kelemahan demokrasi.
"Kecuali rakyat bangkit untuk menyelamatkan institusi ini, kita
merisikokan sistem sekarang dan Malaysia menjadi negara yang gagal,"
katanya.
Peguam, Edmund Bon berkata, anggota Parlimen yang baik seharusnya
mengundi berdasarkan niat hati mereka dan tahap intelektual
masing-masing untuk menjadi bertanggungjawab terhadap rakyat.
"Realitinya, bagaimanapun, mereka memenangi pilihan raya disebabkan
sokongan parti," katanya, dan menambah, itulah punca sebenar calon bebas
gagal dalam pilihan raya.
Bon berkata, ahli Parlimen tidak berupaya bergerak secara bebas seperti
mengusulkan undi tidak percaya terhadap ketua Dewan kerana ketua whip
parti dilantik untuk mengekalkan disiplin.
Beliau berkata, apa yang dimaksudkan Razaleigh dituntut oleh masyarakat
sivil yang mahukan penyingkiran pemusatan kuasa antara individu atau
beberapa pihak.
Bon berkata, sistem wakil rakyat berdasarkan undi popular perlu dilihat
apabila reformasi Parlimen dilaksanakan, seperti di negara Barat.
"Kita harus membenarkan rakyat diberikan akses kepada Dewan Rakyat jika
jumlah tertentu dipenuhi untuk mengumpulkan tandangan bagi sesuatu
petisyen berkenaan kepentingan orang ramai dibahaskan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan