Mahfuz akhirnya berjaya menghubungi Sirul
pada pukul 1.30 petang tadi selepas talian Mahfuz tersekat ketika
percubaan panggilan telefon lewat pagi tadi.
PETALING JAYA: PAS akhirnya berjaya mengadakan persidangan-tele dengan Koperal Sirul Azhar Umar, setelah percubaan pertama pada pukul 11.33 pagi tadi gagal.
Tidak berputus asa dengan cubaan sebanyak 15 kali pagi tadi, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berjaya menghubungi Sirul pada jam 1.30 petang, selepas Sirul sendiri membuat panggilan ‘missed-call’ kepada Mahfuz.
“Ketika panggilan di buat, ia disaksikan kira-kira 15 pemberita dan dirakam dalam sesawang Hijau.fm. Sirul minta maaf atas kejadian pagi tadi dan berterima kasih kepada kerajaan Australia yang memberi perlindungan yang baik kepadanya,” katanya kepada Free Malaysia Today.
Mahfuz memberitahu, talian telefonnya disekat menyebabkan dia gagal membuat panggilan kepada Sirul, bagaimanapun ia kembali pulih dan dia akhirnya berjaya menghubungi Sirul yang kini berada di Australia selepas melarikan diri kerana didapati bersalah atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Sirul juga mengucapkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia di atas sokongan terhadapnya.
Walaupun tidak mendedahkan apa-apa termasuk motif dan siapa yang beri arahan pembunuhan, Mahfuz meminta agar menunggu masa yang sesuai.
“Sirul akan dedahkan pada media tentang motif pembunuhan bila tiba waktu yang sesuai,” kata Mahfuz yang mengesahkan Sirul tidak bersedia membuat sebarang kenyataan buat masa ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan