GEORGETOWN: Naib Presiden MIC Datuk M Saravanan menggesa Presiden MIC
Datuk Seri G Palanivel untuk tidak terus bermain tarik tali, sebaliknya
segera menetapkan tarikh pemilihan semula semua jawatan dalam parti
berkenaan.
Beliau berkata Palanivel sepatutnya memutuskan tarikh pemilihan semula
parti itu terlebih dulu seperti diarahkan Pendaftar Pertubuhan (RoS)
sebelum bertindak mempertahankan jawatan berkenaan.
"Apabila ada arahan (pemilihan semula), dia (Palanivel) dengan kadar
segera (perlu) tetapkan tarikh, terus buat pemilihan dan kemudiannya
lantik semua jawatankuasa yang beliau hendak.
"Tak perlulah pusing seluruh negara, tetapkan tarikh dulu. Ini bukan
hal rumah tangga beliau, ini hal parti. Kalau hendak mempertahankan
jawatan, tetapkan tarikh dulu," katanya kepada pemberita selepas
menyaksikan perlawanan Piala FA antara Sungai Ara FC dan MISC-MIFA, di
Stadium Bandaraya di George Town, malam tadi.
Krisis dalaman MIC tercetus selepas RoS membatalkan pemilihan bagi
jawatan 3 naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC)
dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka pada November 2013.
Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan
pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan